Paling Popular
Terkini

ULASAN | Lokasi Malaysia cukup strategik, iaitu di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang terletak di Asia Tenggara.

Perairan Selat Melaka menjadi antara laluan penghubung tersibuk di dunia.

Laut China Selatan menjadi nadi perdagangan dan pengangkutan antarabangsa kerana kedudukannya di tengah-tengah laluan utama Timur dan Barat.

Laut China Selatan adalah pemisah Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Laut China Selatan dilihat membawa impak yang cukup besar kepada negara.

Dihubungkan oleh Selat Melaka, Laut China Selatan merupakan laluan laut kedua paling sibuk di dunia. Dilaporkan, satu pertiga kapal dunia melalui Laut China Selatan.

Sementara itu, mengikut laporan US Energy Information Administration 2017 World Oil Transit Chokepoints, hampir sepertiga daripada 61% jumlah pengeluaran produk petroleum global melalui Selat Melaka.

Sebanyak 16 juta tong minyak mentah dan petroleum dipindahkan melalui perairan negara pada 2016.

Antara isu yang sering diperkatakan di Laut China Selatan adalah perselisihan pemilikan Kepulauan Spratly.

Perselisihan berterusan antara Malaysia, Taiwan, Filipina, Vietnam, Brunei dan China berlaku kerana kedudukannya yang strategik dan mempunyai banyak potensi untuk ekonomi negara.

Pertikaian perairan di Laut China Selatan

Berdasarkan New Straits Times, Kepulauan Spratly dianggarkan berharga RM20.3 trilion kerana kepelbagaian kehidupan marin, longgokan hidrokarbon (minyak dan gas) dan potensi industri pelancongannya.

Kedua-dua perairan ini juga meletakkan Malaysia dalam The Coral Triangle, menjadikan Malaysia negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi.

Malaysia adalah negara ke-12 yang mempunyai kepelbagaian biologi tertinggi di dunia.

Terdapat 612 spesis terumbu karang hidup di perairan ini, bersamaan dengan 77% spesies karang yang diketahui di seluruh dunia.

Kepelbagaian biodiversiti marin

Taman-taman laut (marine parks) di Malaysia iaitu di Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Payar, Pulau Labuan, Pulau Tioman dan Pulau Tinggi pula dianggarkan bernilai RM8.7 bilion.

Kepelbagaian biodiversiti marin negara memberikan manfaat yang pelbagai daripada segi sumber perikanan dan makanan laut, industri ekopelancongan (ecotourism), pelindungan pesisir pantai, pengawalan iklim dan juga proses kitar semula nutrien (nutrient recycling).

Berdasarkan fakta di atas, dapat dibuktikan dengan ringkas bahawa hal ehwal maritim dan sumber marin negara memberikan nilai yang cukup penting buat ekonomi Malaysia.

Kita melalui pemerkasaan sistem pengangkutan laut, pengembangan ekopelancongan serta ekopendidikan mempunyai potensi yang lebih besar untuk mengembangkan ekonomi maritim negara.

Keindahan alam di Pulau Perhentian

Tidak dilupakan juga, kedudukan negara yang strategik meletakkan kebertanggungjawaban yang perlu dipikul Malaysia dari segi geopolitik dan keselamatan negara.

Jadi pada hemat kami, adakah sudah tiba masanya untuk negara kita mempunyai sebuah kementerian yang spesifik untuk mengetuai, memantau dan melaksanakan dasar-dasar maritim serta pengurusan sumber marin negara.

Persoalan ini juga pernah ditimbulkan mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang mengakui keperluan untuk mewujudkan sebuah rejim tadbir urus laut buat negara.

Merujuk kepada ucap utama beliau pada Persidangan Maritim Kebangsaan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima) pada Mac 2019, Dr Mahathir menyatakan perlunya dasar yang komprehensif membabitkan hal ehwal maritim seperti ekonomi, keselamatan dan alam sekitar.

Dr Mahathir (bawah) juga berpendapat semua agensi berkaitan maritim perlu bekerjasama dan bergabung agar dapat mengatasi pembaziran sumber kerajaan di samping memperkuatkan penguatkuasaan maritim.

Mengambil contoh, terdapat tiga buah kementerian yang kami kira mempunyai kepentingan atau autoriti terhadap beberapa hal ehwal maritim dan sumber marin.

Kementerian-kementerian itu ialah Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Selain itu, terdapat juga beberapa buah kementerian yang difikirkan mempunyai fungsi dan autoriti berlainan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (penyelidikan IT/R&D berasaskan marin); Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Akta Perikanan 1985); Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (pemuliharaan biodiversiti).

Terdapat juga kementerian dan agensi kerajaan lain yang memainkan peranan berkaitan dengan hal ehwal maritim negara dan sumber marin, antaranya, (i) Kementerian Pengangkutan, (ii) Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya, (iii) Jabatan Laut, (iv) Jabatan Perairan dan Saliran, (v) Jabatan Alam Sekitar, (vi) Jabatan Taman Laut, (vii) Jabatan Perikanan, (viii) Jabatan Perhutanan, (ix) Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD) dan (x) Pusat Hidrografi Nasional.

Agensi-agensi kerajaan ini sebaiknya disatukan bawah satu bumbung bagi menjamin autoriti maritim dan pengurusan sumber marin negara ditadbir urus dengan lebih sistematik, cekap dan sempurna.

Dengan cara ini, kita boleh mengurangkan pertindihan kepentingan dan autoriti yang sebelum ini membawa pelbagai kerenah birokrasi di dalam pentadbiran maritim dan sumber marin negara.

Selain kos yang dapat dikurangkan/diperkasakan, penubuhan kementerian yang bersepadu ini juga dapat menaungi segala badan-badan penyelidikan tempatan mahupun antarabangsa yang terdapat di Malaysia.

Menurut hemat kami Malaysia boleh menubuhkan sebuah “Kementerian Hal Ehwal Maritim (Moma)”.

Hal ini kerana Laut China Selatan adalah kawasan perairan yang dibatasi banyak negara seperti Malaysia, Vietnam, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, Singapura dan China.

Antara negara jiran yang mempunyai Kementerian berkaitan maritim ialah Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Negara-negara ini (termasuk Malaysia) terletak di laluan utama Laut China Selatan dan masing-masing mempunyai pelabuhan-pelabuhan besar seperti (i) Pelabuhan Singapura, (ii) Pelabuhan Manila, Filipina, (iii) Pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta, Indonesia, (iv) Pelabuhan Bangkok (Khlong Toei), Thailand, (v) Pelabuhan Saigon, Ho Chi Minh, Vietnam.

Pemilihan menteri bagi kementerian baharu ini harus daripada kalangan teknokrat atau mereka yang benar-benar berkelayakan untuk menunjangi tadbir urus lautan dan sumber marin negara.

Melalui penubuhan kementerian yang spesifik seperti Moma membolehkan kita melaksanakan atau memperkasakan polisi-polisi baharu berkaitan maritim yang lebih bersepadu.

Polisi atau undang-undang ini boleh merangkumi beberapa aspek seperti pengurusan zon pantai dan pesisir pantai, pencegahan pencemaran marin, pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem dan biodiversiti, pembangunan sumber laut yang mampan, adaptasi kepada perubahan iklim, operasi perkapalan dan pelabuhan yang mesra alam, tenaga yang boleh diperbaharui dan teknologi hijau di dalam sektor maritim.

Negara maritim

Sebagai graduan sarjana muda sains (sains Marin) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kami percaya bahawa amat penting untuk kita memastikan bahawa kerangka kerja institusi dan perundangan diberikan tumpuan khas untuk memudahkan pengurusan dan pengawasan marin yang berkesan.

UMT dikenali sebagai universiti berfokuskan marin dan sumber kelautan pastinya sedia menjadi sumber rujukan utama dan menyumbang kepakaran bagi memastikan agenda “Malaysia sebagai sebuah negara maritim” menjadi realiti.

Sementara itu, penubuhan Moma dijangka dapat memberikan peluang untuk kita mengkaji semula pelbagai komitmen pengurusan dan pemeliharaan serta pemuliharaan maritim negara dari pelbagai sudut pandang, terutamanya daripada pakar-pakar seluruh negara.

Kesimpulannya, memandangkan ekosistem dan sosioekonomi lautan dan hidupan laut di Malaysia begitu luas kesannya, pemuliharaan dan perlindungan biodiversiti, persekitaran laut dan sumber laut yang lebih komprehensif dan bersepadu sangat diperlukan pada masa sekarang.

Oleh itu, kami yakin bahawa perlu menjadi keutamaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan keutamaan terhadap penguasaan dan pembangunan lestari maritim negara melalui penubuhan Kementerian Hal Ehwal Maritim.


MOHAMAD ZULKARNAIN BIN MOHD DALI adalah pengarah maritim, sumber asli dan alam persekitaran Kelab Gemilang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS