PRK SLIM | Peneroka Felda Trolak Utara menggesa kerajaan persekutuan supaya menunaikan janji-janji yang dibuat sebelum ini termasuk projek perumahan generasi kedua, bantuan tabung penanaman semula, tabung khairat kematian serta menambah baik kemudahan-kemudahan asas di kawasan mereka.
Tinjauan Malaysiakini di Felda Trolak Utara baru-baru ini mendapati bahawa kawasan penempatan semula yang ditubuhkan pada awal 70-an itu masih mempunyai kekurangan kemudahan asas seperti ketiadaan lampu jalan dan sering dinaiki banjir.
Terletak sejauh 21 kilometer dari pekan Slim River, kawasan ini yang mempunyai sebanyak 2,636 pengundi kini dilabel oleh penduduk setempat sebagai "kembali hidup" dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.
"Kalau sebelum ini Trolak Utara sangat sunyi. Cuma pekan Trolak Utara (kawasan deretan kedai) akan ada orang. Tetapi, sekarang kita boleh nampak banyak pemimpin, agensi kerajaan masuk ke sini.
"Nampaknya, Trolak Utara 'kembali hidup' kerana PRK Slim," kata Masri Salleh, seorang peneroka generasi pertama dari Felda Trolak Utara.
Memperkenalkan dirinya sebagai Pengerusi Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia cawangan Felda Trolak Utara, Masri yang kini berusia 70 tahun, menyatakan rasa tidak puas hati dengan beberapa janji sebelum ini yang menurutnya tidak ditunaikan.
Masri juga mendakwa Felda menjadi 'tenat' selepas Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) diperkenalkan oleh bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.
"Saya masuk ke sini pada bulan Disember 1972. Setahu saya Felda beroperasi dengan baik sehingga (bekas perdana menteri) Najib Razak memperkenalkan FGV.
"Apabila Najib tubuhkan FGV ramai peneroka tidak setuju untuk menyerahkan tanahnya. Ini kerana Felda ketika itu sangat selesa. Peneroka boleh dikatakan hidup dalam keadaan sederhana.
"Tetapi, apabila peneroka tidak setuju, maka kami diberikan kononnya wang 'bonus' daripada Felda sebanyak RM15,000. Jadi, ramai nak RM15,000 itu dan bersetuju untuk memberi tanah miliknya kepada FGV.
"Akhirnya Felda dalam keadaan tenat," katanya.
Tambahnya, peneroka juga ditawarkan RM3,000 dalam bentuk saham (800 unit) dengan janji tidak perlu bayar balik.
"Tapi, sekarang ini peneroka terpaksa menanggung hutang setiap bulan untuk membayar wang pinjaman saham itu," katanya lagi.
FGV adalah sebuah syarikat pertanian dan komoditi pertanian global Malaysia ditubuhkan pada tahun 2017 dan merupakan anak syarikat milik penuh Felda.
Namun, FGV dikritik hebat selepas terlibat dengan beberapa kontroversi dan skandal yang melibatkan pengurusan, kakitangan, dan warga kerjanya.
Saham FGV yang pada mulanya dijual pada harga RM3.80 seunit, tetapi menjunam lebih kurang RM1.20 seunit sahaja.
Tak dapat jual saham
Peneroka juga merungut bahawa mereka tidak dapat menjual saham selepas mendakwa hanya boleh menjual satu lot (satu lot sama dengan 1,000 unit) sedangkan peneroka mempunyai 800 unit sahaja.
Menurut Masri lagi, sebanyak 74 peneroka di Felda Trolak Utara yang mengusahakan sendiri tanah tidak mendapat sebarang bantuan daripada Tabung Penanaman Semula.
"Tabung Penanaman Semula ini adalah untuk membeli benih, menanam semula, membeli baja dan sebagainya.
"Tapi, bila kita membuat permohonan dengan Felda, mereka kata kena tunggu selepas empat tahun? Mengapa ini berlaku? Kenapa perlu menunggu empat tahun?" soalnya.
"Tabung itu adalah wang peneroka. Itu adalah hak peneroka. Wang pendapatan peneroka disimpan setiap bulan dijadikan modal membiayai untuk penanaman semula. Jadi, apa terjadi dengan wang itu," tambahnya lagi.
Selain itu, Masri juga memberitahu bahawa peneroka Felda Trolak Utara menghadapi kesukaran menerima wang Tabung Khairat Kematian.
"Setiap peneroka meninggal dunia, warisnya diberi RM10,000. Selepas memberitahu kematian, (cuma) dibayar RM3,000, dan bakinya RM7,000 akan dibayar kemudian. Tapi, apa yang sekarang ini bila berlaku kematian wang ini tidak ada.
"Bila kita telefon pengurus tabung ini, kami diberitahu bahawa Felda tidak ada wang tunai. Kami ada enam atau tujuh keluarga di sini, warisnya belum menerima bakinya selepas menunggu beberapa bulan," katanya.
Rumah Generasi Kedua masih tidak dibina
Sementara itu, seorang warga Felda generasi kedua berkata isu perumahan generasi kedua masih satu isu penting di sini.
"Rumah generasi kedua dilaungkan sejak tahun 2004. Kalau tak silap saya sehingga sekarang peneroka Trolak Utara tak nampak bayang di mana rumah generasi kedua.
"Saya menuntutkan hak rumah generasi kedua sekurang-kurangnya beri tapak kepada kami atau pun Felda bangunkan rumah generasi kedua dan boleh menjual rumah kepada generasi kedua dengan harga mampu beli," kata Anuar Sidek Zakaria.
Berusia 50 tahun, Anuar yang merupakan ayah kepada empat anak itu berkata bahawa Rumah Bestari yang dipromosikan oleh kerajaan tidak mampu dibeli oleh peneroka atau warga Felda.
"Sedangkan kita bekerja sektor perladangan kita tahu kita bukan bawah B40, lebih teruk daripada B40. Dan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan untuk B40 saya tidak setuju.
"Rumah Bestari yang dikatakan memang tak mampu dibeli oleh golongan-golongan yang berpendapatan bawah RM2,000 ini dan apa yang dibuat oleh kerajaan adalah untuk orang berada sahaja.
"Kami generasi kedua duduk di Felda tak dapat apa-apa. Dah hampir 43 tahun saya tak nampak apa-apa perubahan di Trolak Utara ini sama sahaja.
"Rumah yang dibuat hasil peneroka sendiri bukannya daripada Felda bagi," tegasnya lagi.
Manakala, rakan Anuar, Abd Malik, 37, memberitahu bahawa generasi kedua Felda mula berhijrah ke kawasan bandar kerana tiada peluang pekerjaan di Felda.
Menurut Abd Malik, ramai pemuda dan warga Felda mula keluar dari Felda kerana pendapatan yang rendah.
"Saya 10 adik beradik di keluarga saya. Kini cuma saya dan adik saya tinggal dengan emak saya di sini. Yang lain, dah kahwin itu semua dah ada rumah di luar.
"Walaupun ada tanah, tetapi tidak ada peluang untuk berjaya,' katanya.
"Selain itu, kemudahan asas masih tidak mencukupi. Taman permainan sudah rosak. Jalan raya tidak ada lampu. Sering dinaiki banjir.
"Saya harap, kalau boleh wakil rakyat baru selesaikan janji-janji ini dibuat sebelum ini," tambahnya.