Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian: Penghuni PPR makan lebih banyak nasi, telur masa PKP

Laporan dua agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati terdapat peningkatan pengambilan nasi dan telur di kalangan penduduk bandar miskin di Projek Perumahan Rakyat (PPR) semasa perintah kawalan pergerakan (PKP)

Ia dianggap sebagai penanda aras terhadap masalah kekurangan gizi yang diburukkan lagi oleh krisis Covid-19.

Kajian bersama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan PBB (Unicef) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan PBB (UNFPA) itu dijalankan bagi merapatkan jurang susulan kesan Covid-19 terhadap wanita dan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah di Malaysia.

Membentangkan dapatan awal kajian Families on Edge, Pengarah Urusan DM Analytics Muhammed Abdul Khalid berkata kajian melibatkan 500 isi rumah miskin itu mendapati telur menjadi sumber protein termurah bagi mereka.

Daripada angka itu, sebanyak 20 peratus wanita menjadi ketua keluarga. Ibu tunggal pula terdapat 24 peratus.

Tanpa simpanan dan pendapatan tidak stabil, Muhammed berkata keluarga-keluarga di 16 skim PPR, terutamanya dalam kalangan pendapatan kurang RM2,000 sebulan, juga mendapati terdapat peningkatan pengambilan telur dan mi segera bagi menggantikan nasi.

“Masalah ini (kurang zat) menjadi bertambah buruk apabila kanak-kanak tidak dapat pergi ke sekolah dan tidak dapat menerima bantuan rancangan makanan tambahan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Selain wawancara dengan ketua keluarga, Muhammed berkata kajian juga membekalkan telefon pintar terhadap kanak-kanak bagi merakamkan kehidupan mereka semasa PKP - termasuk amalan harian, pembelajaran atas talian dan pemakanan mereka.

Dapatan menunjukkan makanan yang disediakan tidak cukup, yang ada antaranya hanya makanan dalam tin atau alternatif lain paling murah.

Simpanan tak dapat bertahan 3 bulan

Kajian juga mendapati, kata Muhammed, di kalangan ketua rumah wanita, hanya satu daripada 100 orang mempunyai simpanan cukup untuk bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan.

Secara keseluruhan, walaupun kerajaan memberikan bantuan wang tunai dan manfaat lain, responden berkata ia tidak cukup untuk membantu mereka untuk jangka masa panjang.

“Mereka mahu bantuan berterusan, mereka mahu kerja,” katanya mengulas berkaitan tanggapan golongan berpendapatan rendah terlalu bergantung kepada pemerintah.

Sementara itu, wakil UNFPA Malaysia Marcela Suazo berkata dapatan yang itu memberikan gambaran awal berkaitan kehidupan keluarga miskin bandar yang tinggal di rumah-rumah pangsa negara ini.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran laporan itu, Ketua dasar sosial Unicef Malaysia Stephen Barrett, berkata langkah kerajaan akan menentukan masa depan pembesaran kanak-kanak terlibat semasa krisis kesihatan global ini.

“Isi rumah akan keluar daripada PKP, tetapi ada risiko besar kanak-kanak tidak akan pulang ke sekolah,” kata Barrett sambil membangkitkan kesan ekonomi kepada golongan itu.

Ketika sekolah dibuka kembali, dia berkata kanak-kanak itu juga ketinggalan sedikit kerana masalah pembelajaran di rumah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS