ULASAN | Walaupun industri perlombongan dan penggalian merupakan antara industri dengan prestasi tercorot dari segi hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun 2020 (2Q20) dengan pertumbuhan negatif sebanyak 44.5%, namun dari segi saiznya, ia menyumbang sebahagian besar dalam KDNK iaitu 7.2%.
Ini bermakna fokus sekarang haruslah tentang bagaimana untuk membantu sektor ini meningkatkan prestasinya.
Hasil KDNK pada suku kedua tahun 2020 (2Q20) menunjukkan sektor ini merupakan sektor kedua yang mencatatkan prestasi yang tidak memuaskan dan isu ini memerlukan analisis mengenai prestasi suramnya sebagai sebahagian daripada mencari langkah-langkah khusus bagi menghidupkan kembali industri tersebut.
Pertama sekali, kita perlu mengetahui apakah cabaran yang dihadapi oleh sektor ini berdasarkan konteks wabak Covid-19 yang melanda mereka.
Seperti sektor-sektor lain juga, penurunan prestasi adalah disebabkan oleh impak besar terhadap kegiatan ekonomi berpunca daripada sekatan ketat yang dikenakan oleh kerajaan terhadap pergerakan dan perniagaan bagi membendung penularan virus.
Sebagai contoh, Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC) mencatatkan pendapatan yang lebih rendah, terutama sekali kerana sumbangan yang tidak memberangsangkan daripada segmen syarikat peleburan dan perlombongan timah yang terjejas oleh gangguan perdagangan global semasa pandemik Covid-19.
Penguatkuasaan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada waktu itu menghambat beberapa aktiviti ekonomi termasuk sebahagian faktor pertumbuhan sektor tersebut seperti proses perlombongan, masalah buruh, fasa pengangkutan dan juga perdagangan global.
Prestasi gas asli, minyak mentah dan kondensat yang kurang memberangsangkan sejak tahun lalu juga menyumbang besar kepada penguncupan sektor ini.
Pandemik Covid-19 tidak diragukan lagi telah memburukkan keadaan kerana ia mempengaruhi bekalan mineral dan logam serta permintaan mereka.
Dari sisi permintaan, penutupan kilang semasa “kehangatan” wabak Covid-19 di China dan negara-negara lain yang berkaitan telah mengakibatkan penurunan permintaan dan juga harga bagi kebanyakan logam dan mineral.
Operasi terhad
Dari sisi penawaran, kebanyakan lombong-lombong ditutup atau beroperasi pada kapasiti terhad semasa suku kedua tahun 2020, seperti syarikat perlombongan nadir bumi Australia iaitu Lynas, yang menghentikan operasi kilangnya di Malaysia pada waktu itu.
Oleh itu, sektor penting ini memerlukan bantuan yang mencukupi bagi meningkatkan prestasinya dalam menyediakan sumber pendapatan alternatif yang berpotensi besar untuk negara.
Di samping itu, syarikat perlombongan harus mempertimbangkan keperluan kawalan aliran tunai yang ketat, pengurangan kos, dan strategi kesinambungan perniagaan yang dirancang untuk meminimumkan sebarang potensi risiko gangguan rantaian bekalan.
Tidak dapat dinafikan lagi, industri perlombongan dan penggalian sering diakui di mata dunia sebagai asas untuk reka bentuk dan pembangunan pelbagai struktur, infrastruktur dan kemudahan inovatif yang bertujuan untuk meningkatkan masyarakat global.
Ia juga penting sebagai pemangkin dan komponen penting untuk mana-mana negara di seluruh dunia yang berusaha untuk mendapatkan status negara perindustrian, maju dan berpendapatan tinggi.
Dari aspek pekerjaan, Shamsul Anuar Nasarah, menteri tenaga dan sumber asli telah menyebutkan bahawa industri ini telah mewujudkan sekitar 15,275 pekerjaan, di mana 83.57 peratus atau 12,766 adalah penduduk tempatan.
Dan mungkin langkah-langkah yang berjaya untuk menghidupkan semula sektor ini akan turut menjadi sebahagian daripada pengurangan kadar pengangguran Malaysia yang tinggi.
Bahagian sektor ini dalam KDNK adalah konsisten pada 7.1% sejak suku pertama tahun 2020 (Q120), menunjukkan bahawa ia memainkan peranan dalam ekonomi negara secara konsisten.
Itulah sebabnya sektor ini harus kekal menjadi salah satu penyumbang utama terhadap pertumbuhan ekonomi.
Kejatuhan harga minyak global telah bertindak sebagai peredam dalam menghidupkan semula sektor ini ke tahap kegemilangannya.
Dan defisit belanjawan yang semakin meningkat sekali lagi mendedahkan negara kepada potensi kesan buruk ekonomi yang berpunca daripada pergantungan yang tidak wajar terhadap hasil sumber minyak bagi membiayai belanjawan tahunannya.
Seperti di Nigeria, jurang pembiayaan yang ketara, kekurangan kemudahan tenaga dan pengangkutan yang cekap, dan isu keselamatan adalah beberapa masalah kritikal yang menjadi penyebab kepada perkembangan buruk industri perlombongan dan penggalian mereka.
Serupa tapi berbeza
Permasalahan di Malaysia mungkin seakan-akan serupa tetapi mungkin juga berbeza bergantung kepada jenis sektor, sama ada sektor perlombongan atau penggalian.
Tetapi terdapat satu kajian oleh Universiti Teknologi Malaysia yang membuktikan bahawa masalah penting yang dihadapi oleh sektor kuari adalah bebanan penguatkuasaan, penentangan penduduk, batasan teknologi, sumber dan kebolehcapaian, masalah kewangan dan keselamatan.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa segala syarikat harus bertanggungjawab untuk memperbaharui lesen kuari mereka dan harus lebih waspada terhadap tarikh luputnya dan kerajaan haruslah memiliki rencana pembangunan hutan simpan yang tepat serta menganalisis impak sektor ini terhadap persekitaran.
Selain itu, pihak berkuasa yang tepat seperti Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Jabatan Mineral dan Geosains haruslah mengkaji secara meluas tentang undang-undang dan polisi yang meliputi sekitar aktiviti perlombongan dan penggalian bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi semasa proses pelaksanaannya ke arah kelestarian sumber mineral yang berjaya bagi Malaysia.
Dasar dan peraturan yang diselaraskan berserta sumbangan dari semua pihak berkepentingan juga bagus untuk memastikan bahawa sektor perlombongan dan penggalian mencapai potensi penuhnya.
Oleh kerana beberapa sektor ekonomi utama yang produktif juga bergantung kepada aktiviti dan pengeluaran industri perlombongan dan penggalian, maka sebarang permasalahan dalam industri ini haruslah segera ditangani untuk memberikan gambaran keseluruhan yang lebih baik mengenai prestasi ekonomi kita yang seterusnya.
FARHAN KAMARULZAMAN merupakan Pembantu Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.