Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin sambut baik sayap Bersatu untuk bukan bumiputera
Diterbitkan:  Aug 25, 2020 5:57 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menyambut baik cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mewujudkan sayap baru bagi membolehkan ahli bersekutu bukan Bumiputera memegang jawatan dalam parti itu.

Beliau berkata perkara itu penting kerana Bersatu perlu meraikan kalangan bukan bumiputera yang keluar daripada mana-mana parti dan menyertainya.

“Apabila kami daripada kumpulan (bekas Timbalan Presiden PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai Bersatu, dalam kalangan kami ada yang bukan Bumiputera. Takkanlah kami hendak biarkan mereka bersendirian,” katanya.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan dron Oryctes, dron pertama Malaysia yang direka bentuk khusus untuk kegunaan ladang kelapa sawit, di premis Futurise di Cyberjaya, hari ini.

Sabtu lepas, Saifuddin dan Mohamed Azmin serta dua bekas aaib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju; Datuk Mohd Rashid Hasnon (ahli parlimen Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (ahli parlimen Segamat), Willie Mongin (ahli parlimen Puncak Borneo) dan Datuk Kamaruddin Jaffar (ahli parlimen Bandar Tun Razak) menyertai Bersatu.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu mengumumkan parti itu akan mewujudkan sayap baru bagi membolehkan ahli bersekutu bukan bumiputera memegang jawatan dan menyumbang idea untuk parti.

Untuk itu, beliau berkata satu jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Dr Rais Yatim telah ditubuhkan untuk melihat perkara tersebut dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Saifuddin berkata beliau sangat berterima kasih kepada presiden Bersatu atas pengumuman itu dan menurutnya perkara itu akan suntik kekuatan baru bagi Perikatan Nasional (PN).

“Akan ada kepelbagaian dalam Perikatan Nasional. Ini kerana ada parti yang bersifat dominan satu kaum dan kalau Bersatu jadi buka keanggotaan kepada bukan Bumiputera, akan ada parti dalam perikatan itu yang mempunyai keanggotaan bersifat campuran,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS