Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TalentCorp beroperasi tanpa CEO selama dua tahun, tiada audit dalaman

Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) telah beroperasi tanpa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sejak Jun 2018, iaitu sebulan selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.

Ia merupakan antara kebimbangan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019, yang menekankan kelemahan pengurusan dan mengapa ia gagal mencapai sasarannya dalam menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi kepulangan rakyat Malaysia berstatus pakar (global brain gain).

“Secara keseluruhannya, amalan tadbir urus korporat TalentCorp adalah kurang memuaskan.

“Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif tidak diisi sejak bulan Jun 2018, Piagam Lembaga Pengarah tidak disediakan, SOP tidak dibentangkan untuk kelulusan Lembaga Pengarah serta Jawatankuasa Audit Dalam belum ditubuhkan,” menurut laporan tersebut.

Ahli lembaga tersebut melantik dua pegawai sebagai timbalan CEO yang dibantu oleh empat pengurus kanan.

Seorang pengerusi diberi peranan sebagai CEO pada November 2019 selepas dua bulan pelantikannya sebagai pengerusi. Namun, dia mengundur diri pada bulan Februari.

Pada November tahun lalu, dua timbalan CEO diarahkan untuk mengambil cuti berikutan penglibatan mereka dalam penubuhan Malaysia Expatriate Services Center Sdn Bhd (MYXpats), yang disebut sebagai anak syarikat TalentCorp, tetapi pasukan audit mendapati ia merupakan syarikat swasta.

Walaupun maklum bahawa Malaysian Code on Corporate Governance (MCGG) merupakan satu contoh amalan terbaik tadbir urus korporat, bagaimanapun laporan tersebut mengatakan bahawa lembaga pengaraah TalentCorp bukan bebas.

 

“Semakan audit mendapati sehingga bulan Februrari 2020, lembaga pengarah TalentCorp dianggotai oleh dua orang ahli. Komposisi lembaga pengarah TalentCorp adalah 100 peratus bukan bebas.

“Manakala seorang lagi lembaga pengarah berstatus bukan bebas dan bukan eksekutif ialan YB timbalan menteri di KDN,” menurut laporan audit itu yang dikeluarkan semalam.

Laporan tersebut selanjutnya mendedahkan bahawa ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) berhubung tanggungjawab lembaga pengarah, seperti yang ditetapkan dalam MCGG, dan juga piagam lembaga pengarah sedia ada.

Lembaga Pengarah TalentCorp hanya mengadakan mesyuarat sekali untuk tahun 2016, 2017 dan 2019. Tidak ada mesyuarat yang diadakan pada tahun 2018.

Dalam maklum balas yang diterima oleh TalentCorp mengatakan Menteri Sumber Manusia telah mencadangkan tiga calon untuk jawatan pengarah dan mereka akan dilantik pada bulan Ogos.

TalentCorp juga mengatakan akan mencadangkan untuk menubuhkan jawatankuasa audit dan audit dalaman dalam mesyuarat lembaga pengarah bulan depan.

Pegawai audit melakukan audit ke Program Kepulangan Pakar (REP), perniagaan teras TalentCorp, serta tadbir urus korporat dan status kewangan untuk tahun 2016 hingga 2019.

MYXpats muncul ketika lembaga pengarah TalentCorp bersetuju untuk menubuhkan "anak syarikat" untuk mengendalikan permohonan individu yang memohon REP, dengan sokongan imigresen.

Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pasukan audit mendapati bahawa MYXpats bukan anak syarikat TalentCorp, tetapi syarikat swasta yang dimiliki oleh individu.

Ia bertentangan dengan keputusan kerajaan bahawa sebuah pusat perkhidmatan ekspatriat dibentuk untuk menangani proses tersebut. Laporan audit menyatakan bahawa ia penting untuk melindungi kerahsiaan maklumat dan kepentingan kerajaan.

 

Dalam jawapannya, TalentCorp mengatakan bahawa MYXpats menjadi anak syarikatnya pada April.

TalentCorp hanya mencapai 27.6 peratus daripada 1,000 sasaran kepulangan pakar untuk tahun 2019. Jumlah tersebut kurang daripada 309 rakyat Malaysia yang pulang seperti yang direkodkan pada 2018.

“TalentCorp telah menetapkan sasaran sebanyak 100 penempatan dalam memadankan pakar kepada tawaran pekerjaan.

“Bagaimanapun, pencapaian padanan penempatan pakar hanya berjaya mencatatkan sembilan daripada 100 penempatan yang disasarkan (9 peratus) bagi tahun 2016.

“Pencapaian padanan penempatan pakar bagi tahun 2017 dan seterusnya tidak dapat ditentukan,” katanya.

TalentCorp hanya mencatatkan kadar kejayaan sembilan peratus dalam pengaturan pencocokan pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang kembali pada tahun 2016. Ia tidak mengesan tahap kejayaan pada tahun-tahun berikutnya.

Pasukan audit juga menyimpulkan bahawa TalentCorp tidak dapat mencapai sasarannya dalam meletakkan Malaysia sebagai salah satu daripada 20 negara destinasi teratas untuk pakar global seperti dalam senarai Global Talent Competitiveness Index (GTCI) 2020.

“Selain itu, semakan audit terhadap minit mesyuarat lembaga pengarah mendapati agenda berkaitan aspirasi TalentCorp tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah,” jelas laporan itu.

Ia mengakibatkan program yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan tidak ke arah sasaran menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama bagi pakar global untuk bekerja.

Dalam maklum balas bertarikh 12 Jun 2020, TalentCorp mengatakan GTCI adalah hasil daripada pelbagai kementerian dan agensi, sementara TalentCorp hanya menumpukan pada intervensi bakat.

Dalam Talent Roadmap 2020, pelbagai inisiatif akan disusun untuk menangani masalah bakat dalam lapan tahun.

Laporan audit juga menekankan bahawa TalentCorp telah gagal memantau dan mendapatkan susulan dari rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air, yang menikmati insentif cukai tertentu dan terus tinggal di negara ini.

Untuk rekod, rakyat Malaysia yang kembali telah menyumbang sebanyak RM93.91 juta dalam konteks pendapatan negara kasar antara 2016 dan 2019.

TalentCorp, merupakan ilham bekas perdana menteri Najib Abdul Razak, ditubuhkan pada Oktober 2010. Ia diperuntukkan sejumlah RM492.4 juta dari 2011 hingga 2019.

Pada asalnya ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri tetapi dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia dua tahun lalu.

Laporan tahun 2015 yang dibuat oleh Bank Dunia mengenai TalentCorp menunjukkan bahawa 150,000 daripada 311,000 rakyat Malaysia yang telah berhijrah ke luar negara merupakan dari kalangan berpendidikan tinggi dan dianggap "berkemahiran tinggi".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS