Terdapat 11 kes baru Covid-19 yang telah dilaporkan setakat jam 12:00 tengah hari ini, maklum Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
"Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baru yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Jelasnya, dua kes import tersebut, kedua-duanya di Selangor, ialah dari Filipina dan Indonesia.
Beliau juga berkata terdapat lapan lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan," jelasnya lagi.
Mengenai sembilan kes penularan dalam negara, beliau berkata kesemuanya melibatkan rakyat tempatan dengan tujuh kes di Kedah termasuk lima daripada Kluster Tawar.
Menurut beliau satu kes melibatkan saringan prapembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan satu lagi kes melibatkan saringan bergejala.
Sementara itu, di Selangor melibatkan satu kes dalam siasatan yang mana kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sementara di Perlis merupakan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Tuanku Fauziah, katanya.
Pengarah kesihatan juga menjelaskan terdapat enam kes telah pulih Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu sebanyak 8,971 kes iaitu 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.