Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya henti guna cap tandatangan lepas Zahid maklum SPRM sedang siasat'

KES ZAHID | Bekas setiausaha eksekutif kepada Ahmad Zahid Hamidi, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly mengaku menggunakan cap tandatangan bekas timbalan perdana menteri itu untuk cek Yayasan Akalbudi, hanya setelah mendapat kebenaran Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, katanya, dia berhenti berbuat demikian pada 2016 setelah Zahid memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan penyiasatan.

“Kali terakhir saya menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk bayar kad kredit adalah pada awal tahun 2016.

“Sepanjang ingatan saya, pada masa itu, Datuk Seri (Zahid) mengarah saya supaya jangan lagi guna cek Yayasan Akalbudi untuk bayar kad kredit kerana dikatakan SPRM sudah mula buat siasatan.

“Saya tidak tanya lanjut. Saya diminta untuk bayar kad kredit secara tunai,” katanya sebagai saksi ke-90 perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mazlina merupakan antara nama yang sering ditimbulkan dalam perbicaraan pada tahun lepas.

Pihak pembelaan pernah mencadangkan ada cek dicap tanpa pengetahuan Ahmad Zahid, dan Mazlinalah yang menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat pembayaran kad kredit, sedangkan dia sepatutnya menggunakan wang dari akaun peribadi Ahmad Zahid.

Peguam turut mendakwa mejar Mazlina sering melakukan kesilapan seperti menghantar cek kosong tanpa tandatangan kepada bank sehingga cek dipulangkan semula.


Baca: Rangkuman kes Zahid: Rekod kad kredit, cukai jalan dan siapa Mazlina?


Sebelum ini, saksi pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia mengesahkan daripada 49 cek yang dihantar SPRM ke jabatan itu, 32 cek bukan dihasilkan menggunakan tulisan tangan, sebaliknya menggunakan cap tandatangan.

Dalam pernyataan saksinya, Mazlina memang mengaku menggunakan cap tandatangan untuk urusan pembayaran kad kredit Zahid tetapi berkata berbuat demikian hanya selepas mendapat kebenarannya.

Berkenaan cek Yayasan Akalbudi pula, dia berkata, setiap kali cek yayasan dikemukakan, Zahid tidak pernah menyoalnya kenapa dia menggunakan cek yayasan, iaitu akaun Affin- dan tidak menggunakan cek peribadi - iaitu akaun Maybank.

Dia juga menyifatkan Zahid sebagai seorang yang teliti dan akan meneliti setiap cek dan surat, dan hanya menurunkan tandatangan setelah memastikan tiada kesalahan pada cek dan surat itu, termasuk kesalahan ejaan.

“Saya mula menggunakan cap tandatangan untuk cek-cek Yayasan Akalbudi setelah mendapat kebenaran Datuk Seri.

“Seingat saya, kali pertama saya menggunakan cop (cap) tandatangan untuk cek, saya telah bertanya kepada Datuk Seri terlebih dahulu sama ada boleh atau tidak saya menggunakannya,” katanya.

Katanya, kali pertama dia menggunakan cap tandatangan Zahid untuk cek-cek Yayasan Akalbudi sejak tahun 2014, tetapi itu pun hanya apabila Zahid tiada di pejabat.

Katanya, dia meminta kebenaran Zahid untuk menggunakan cap tandatangan bagi pembayaran kad kredit untuk mempercepat proses pengeluaran cek, memandangkan Zahid sentiasa sibuk dan mempunyai jadual yang ketat dan padat, lebih-lebih lagi ketika menjadi menteri dalam negeri dan timbalan perdana menteri.

Katanya lagi, penyata kad kredit juga sering diterima selepas tamat tarikh akhir bayar, jadi dia bimbang bank akan menyekat penggunaan kad kredit Zahid dan isterinya sekiranya bayaran dibuat terlalu lewat, sekaligus menyusahkan pasangan itu jika mereka berada di luar negara.

“Jadi untuk mengelak sebarang kesulitan kepada Datuk Seri dan Datin Seri (Hamidah Khamis), saya meminta kebenaran Datuk Seri untuk menggunakan cop tandatangan beliau. Datuk Seri bersetuju dan kata okey."

'Bukan untuk kepentingan peribadi'

Mazlina berkata dia menggunakan cap tandatangan hanya untuk cek Yayasan Akalbudi bagi membayar kad kredit, dan tidak menggunakan buku cek akaun peribadi Zahid kerana tiada arahan dari Zahid untuk berbuat demikian.

“Cop tandatangan tersebut sudah wujud ketika saya ambil alih tugas. Saya tidak tahu siapa yang membuat cop ini. Saya pernah menggunakan cop ini untuk sijil penghargaan, kad jemputan dan seumpanya.

“Saya tidak pernah menggunakan cop tandatangan Datuk Seri untuk kepentingan peribadi saya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Mazlina mengakui pernah menerima aduan Ahmad Zahid mengenai kesalahan dilakukannya dalam menguruskan cek seperti kesilapan ejaan pada nama, dan jumlah yang ditulis pada cek.

Dia turut mengaku pernah tersilap menulis tarikh pada cek, dan pernah juga tidak menulis tarikh pada cek sehingga menyebabkan cek ditendang pihak bank semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt.

Lee turut meminta Mazlina mengesahkan sejumlah cek yang hampir semuanya ditulis butirannya oleh Mazlina, dan kebanyakannya dicap dengan cap tandatangan Ahmad Zahid.

Berdasarkan pernyataan saksinya, Mazlina yang merupakan pegawai tentera darat berpangkat mejar, mula bertugas sebagai setiausaha eksekutif Zahid dari 9 Disember 2011- ketika Zahid menjadi menteri pertahanan- hingga Mei 2018 setelah pertukaran kerajaan pada PRU ke-14.

Sebagai setiausaha eksekutif, katanya, tugas lazimnya adalah untuk menguruskan temu janji Ahmad Zahid, menguruskan pengeluaran cek Yayasan Akalbudi bagi pihak Ahmad Zahid, serta lain-lain arahan dari semasa ke semasa.

Sebelum itu, katanya, dia bertindak sebagai pegawai pengiring kepada Hamidah sejak Mei 2008.

Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan CBT melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam pertuduhan pecah amanah (CBT), dia dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi- yang mana dia merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal.

Melalui jejak aliran tunai yang dibentangkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan cuba membuktikan bahawa satu amaun besar milik yayasan digunakan untuk, antara lain, membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.

Pasukan pendakwaan diketuai Raja Rozela Raja Toran manakala pasukan pembelaan diketuai Hisyam Teh Poh Teik.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS