Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Ketika ini, setiap rakyat Malaysia di media sosial maklum dengan kontroversi mengenai gambar di Instagram Mira Filzah.

Mira, seorang artis, model dan 'influencer' media sosial berbangsa Melayu sebelum ini menjelaskan bahawa dia memilih persalinan itu - lehnga, barang kemas India, dan inai di tangannya - sebagai penghormatan kepada filem dan muzik Bollywood yang dia gemari.

Tetapi gambaran tersebut membuat beberapa anak muda India Malaysia berasa gelisah. Dan mereka menyuarakan kegelisahan dengan menggunakan istilah yang memberi kesan polarisasi: "cultural appropriation".

Dengan pantas, rakyat Malaysia pelbagai kaum, melangkaui fahaman politik, membantah tuduhan ini.

Tidak sukar untuk membayangkan bagaimana etnonasionalis bertindak balas terhadap ketidakpuasan hati masyarakat India, termasuk dalam kalangan yang tidak membaca sendiri ciapan di Twitter yang jadi pertikaian itu. Apabila anda lihat ada yang berkata "balik India", anda sudah dapat bayangkan selebihnya.

Bagi rakyat Malaysia yang progresif sekalipun, pada umumnya merasakan bahawa tuduhan "culutural appropriation" tidak adil dan tidak relevan dalam konteks Malaysia.

Lagipun, di Malaysia, bukankah semua budaya kita selalu meminjam antara satu sama lain?

Bukankah wilayah Nusantara terkenal dengan asimilasi, kacukan bahasa, masakan, dan amalan keagamaannya?

Siapa yang pernah membantah apabila rakyat Malaysia saling mengenakan pakaian tradisional untuk majlis perkahwinan dan festival? Bukankah ini antara perkara terbaik mengenai Malaysia, bahawa kita berkongsi budaya? Bukankah ini yang menjadikan Malaysia itu Malaysia?

Apa sebenarnya cuba diluahkan?

Dalam semua kemarahan ini, tak ramai yang meluangkan masa menganalisis rasa tidak puas hati yang cuba diluahkan oleh anak muda India ini.

Inilah masalah dengan label dan istilah seperti "cultural appropriation": sebaik terdedah dengan istilah itu, kita memutuskan pendirian tentangnya; selepas itu, setiap kali kita mendengarnya, kita memberi respons yang sudah dipasang siap, kita tidak pernah peduli untuk menentukan apa sebenarnya, secara khusus, yang dimaksudkan dalam setiap contoh baru.

Tetapi bagaimana jika istilah itu tidak pernah digunakan? Bagaimana jika hanya dengan bertanya kepada orang India yang tidak menyukai gambar Mira itu: apa perasaan anda bila melihat gambar-gambar ini? Mengapa anda berasa begitu?

Dan - yang lebih penting lagi - bagaimana sekiranya kita semua, orang India atau tidak, bersedia mendengar jawapan tersebut.

Di sebuah negara di mana masyarakat India terbesar adalah dari kalangan India Selatan, majoriti masyarakat Melayu sudah lama tertarik dengan apa yang masih disebut sebagai budaya "Hindustan": populariti industri pawagam India Utara, bahasa Hindi, muzik, dan, tanpa perlu berselindung, kulit cerah.

Jika kecantikan India boleh diterima di Malaysia, ia adalah kecantikan India Utara; jika anda membesar di India Selatan, terutamanya jika anda mempunyai kulit gelap, anda akan membesar dengan kesedaran akan perkara ini.

Rakyat Malaysia dengan keturunan India Selatan membesar tanpa melihat diri mereka di cermin, tercermin, atau diinginkan di dunia yang lebih luas, dan demikian, ya, ada di antara kami yang melihat gambar Mira dan sekali lagi merasa, 'dipadam'.

Selain berasa 'dipadam', kami merasakan sesuatu yang lain: rasa bisa melihat orang lain menuai budaya "India" tanpa perlu membayar kos sosial yang kami bayar sekiranya kami memilih untuk memakai pakaian kami sendiri, makan makanan kami sendiri, bercakap bahasa kami sendiri, atau melakukan ritual keagamaan Hindu.

Kami tahu harganya kerana kami membesar melihat datuk dan nenek kami merundingkannya sebelum kami belajar untuk merundingkannya sendiri: kelihatan terlalu India - jenis India yang salah, yang gelap, yang dari estet - dan pelbagai lagi.

Bagi ibu bapa dan datuk serta nenek kami, risiko menjadi "terlalu India" termasuklah: tidak dapat melepasi iklan "Orang India tidak dibenarkan", tidak dapat pekerjaan yang bagus; dianggap tidak profesional, tidak berpendidikan, tidak berbudaya; tidak jujur; pemabuk; bankrap.

Bagi generasi selepas mereka pula, risiko "menjadi terlalu India" termasuklah: tiada sesiapa yang mahu duduk di sebelahnya di dalam bas sekolah; ditanya engga poringge? oleh kanak-kanak nakal yang akan menggelengkan kepalanya dan bercakap dengan slanga Tamil yang buruk; dituduh banda berbau dan berkutu.

Ini bukan risiko baru atau ketakutan baru; ia ada bersama kami jauh lebih lama daripada konotasi "cultural appropriation".

Sekiranya anda orang India, risiko dan ketakutan inilah yang menjadikan Malaysia itu Malaysia.

Padang sama rata

Apabila kami memakai pakaian kami di Malaysia - dan dengan "pakaian kami", saya tidak bermaksud pakaian lehnga "Bollywood" yang dipakai Mira, tetapi sari kami, veshtis kami - apabila kami melakukan ini, kami tahu kami harus "membuktikan" kepintaran kami, tahap pendidikan kami, dan budaya kami.

Kami selalu mejangkakan 'harga' seperti ini, dan selalu berkira-kira tentangnya. Anda akan tahu mengenai risiko dan 'harganya', walaupun anda tidak dapat mengucapkannya secara lisan, jika anda pernah menjadi anak India yang memerhatikan rakan anda memerhatikan ibu bapa dan datuk dan nenek anda untuk dapat mengkategorikan mereka: Adakah mereka Jenis Orang India Yang Seperti itu atau Jenis Lain-lain?

Adakah sari akan diambil kira berdasarkan ibu anda? Pottu? Vibhuti? Minyak kelapa? Berapa banyak penanda ini yang dibenarkan sebelum anda semua dikategorikan sebagai Jenis Orang India Yang Seperti Itu?

Anda melakukan pengiraan seperti ini setiap hari, setiap kali anda berada di dunia yang lebih luas, dan kemudian apabila anda menoleh anda melihat wanita Melayu, Cina, dan wanita kulit putih memakai sari di sampul majalah, di papan iklan, di TV.

Ya, sukar untuk melihat orang lain diberikan begitu banyak pujian kerana memakai pakaian anda sedangkan apa yang anda dapat untuk memakainya sering menimbulkan prasangka dan stereotaip negatif.

Sukar untuk melihat pujian yang diberikan pada seorang wanita Melayu yang memakai pakaian India, apabila hanya tiga tahun yang lalu, sebuah sekolah memaklumkan kepada para pelajarnya bahawa semua pakaian tradisional kecuali sari akan diterima di perhimpunan Aidilfitri mereka, kerana "tahun lalu ... beberapa pelajar lain mentertawakan gadis-gadis yang memakai sari. "

Seolah-olah cuba menggambarkan piawaian kecantikan, individu rasis di Twitter mempertahankan Mira dengan memberitahu wanita India yang tidak senang dengan gambar-gambar itu: "Kamu hanya cemburu kerana anda tidak akan pernah terlihat cantik seperti dia." "Kamu hanya cemburu kerana dia terlihat 700 tahun cahaya lebih baik daripada yang kamu pakai pada pakaian dengan kulit hitammu yang jelek itu."

Sekiranya kami cemburu - jika kami menginginkan sesuatu yang dimiliki Mira - bukan itu.

Apa yang kami mahukan adalah kuasa dan keterlihatan yang membuat semua terasa seperti "berkongsi". Segala-galanya terasa seperti berkongsi jika padang permainan Malaysia sama rata. Tetapi realitinya tidak begitu.

Sebilangan daripada kita mempunyai hak istimewa berdasarkan kaum, dan ada juga yang tidak. Berapa banyak wanita India berkulit gelap yang pernah kita lihat di muka depan majalah kita dalam dua puluh tahun terakhir?

Berapa banyak peranan utama dalam filem dan rancangan TV kita yang diberikan kepada pelakon India berkulit gelap? Siapa, dalam masyarakat kita, yang memiliki kekuatan, keterlihatan, dan kemasyhuran seperti itu?

Di Malaysia yang sebenar, gambar Mira bukanlah pujian kepada budaya kebanyakan orang India Malaysia. Kami mungkin dahagakan pengiktirafan sehingga ada di antara kami yang merasa dihargai, hasil dari 400,000 'likes' di Instagramnya.

Negara kita telah membentuk kita dengan sebegitu: untuk membuat kami percaya bahawa itu sudah cukup bagus untuk kami, 'dihargai' untuk sesuatu yang paling hampir dengan akar budaya India, tanpa perlu "menjadi terlalu India" untuk peminat-peminat Mira.

Kami tidak perlu diberi perhatian sebenar-benarnya; apabila sesuatu yang dekat dengan pakaian kami, budaya kami, makanan kami dijadikan 'cool' dan 'hip' oleh mereka yang mempunyai pengaruh (kerana kami sendiri tidak mempunyai kekuatan itu, apa boleh buat), bukankah kami seharusnya bergembira?

Bukankah begitu? Adakah sesi tangkap gambar Mira termasuk sama kategori dengan rakan bukan India yang memakai sari ke majlis perkahwinan yang kami jemput?

Adakah Mira memakai pakaian India Utara untuk mempromosi kanta lekap dan bulu mata palsu sama dengan wanita bukan India yang memakai pakaian India kerana dia telah berkahwin dengan keluarga India dan mahu membesarkan anak-anak kacukan bangsa? Atau adakah kita bersedia untuk meninggalkan semua nuansa dalam keinginan kita untuk 'penghargaan' ini?


PREETA SAMARASAN adalah pengarang novel "Evening is the Whole Day". Dia juga telah menerbitkan banyak cerpen dan esei baru-baru ini mengenai dinamik kaum di Semenanjung Malaysia, "The Race Ladder".

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS