Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Pemutihan tanah Musang King bertimbang rasa’
Diterbitkan:  Aug 24, 2020 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Operasi pemutihan tanah dalam kegiatan pencerobohan bagi menanam durian Musang King di Pahang dilakukan secara bertimbang rasa, agar aktiviti pencerobohan tanah kerajaan, termasuk hutan simpan tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata pencerobohan tanah berkenaan telah berlaku sejak sekian lama dan individu terlibat juga telah mendapat hasil selama berbelas tahun tanpa diganggu-gugat.

"Tindakan itu menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri dan mewujudkan suasana tidak sihat seperti mengalakkan orang lain untuk ceroboh dan teroka tanah kerajaan, sedangkan kita mempunyai undang-undang dalam hal ini.

"Kerajaan negeri boleh memusnahkan tanaman itu, seperti dibenarkan di bawah undang-undang, namun kita mencari pendekatan yang lebih baik iaitu diambil alih oleh anak syarikat negeri, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan perbincangan telah dilakukan dengan pihak terlibat," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Gambar hiasan

Mohd Soffi berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Lee Chin Chen (PH-Bilut) yang ingin tahu sama ada perbincangan dilakukan dengan penanam Musang King di Raub berhubung operasi pemutihan itu.

Mohd Soffi turut memohon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang termasuk pembangkang untuk menyokong usaha kerajaan negeri membanteras isu pencerobohan tanah haram yang membawa keburukan, dengan memberi penjelasan yang tepat kepada rakyat.

"Saya tahu dalam isu Musang King ini, wujud kumpulan yang menentang. Jangan jadikan pencerobohan satu kebiasaan. Jika mahu, isi borang dan mohon dengan kerajaan. Jika tak mohon, kerajaan perlu ambil tindakan dan ini merugikan. Kita cuba ambil pendekatan berhemah namun kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak," katanya.

Pada persidangan itu, Mohd Soffi turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan penjualan durian Musang King termasuk ke pasaran luar negara berjalan lancar dan pekebun harus memiliki persijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) serta mematuhi syarat yang ditetapkan negara luar sebelum hasil itu boleh dieksport.

Katanya, antara syarat yang ditetapkan myGAP ialah hasil tanaman mesti diusahakan di tanah yang telah disahkan oleh kerajaan dan tanah yang diceroboh adalah tidak dibenarkan.

Mengulas inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal penjualan durian tidak berlesen, Mohd Soffi berkata pihak terlibat telah menyediakan tapak khas sementara dengan bayaran permit minimum termasuk untuk di tepi jalan, dengan pemilihan lokasi yang bersesuaian.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS