Senator Ras Adiba Radzi menyambut baik langkah kerajaan menyediakan jurubahasa isyarat pada sidang dewan rakyat bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) khususnya bagi komuniti pekak.
Jelas Ras Adiba – yang menjadi senator mewakili OKU di Dewan Rakyat - dia meluahkan rasa syukur kerana cadangannya bagi pelaksanaan jurubahasa isyarat itu diambil kira oleh pihak kerajaan.
Tambahnya lagi, dia kini juga berasa gembira kerana golongan pekak dapat mengikuti dan turut mengambil maklum tentang apa yang dbincangkan dalam Dewan Rakyat.
"Saya nak kongsi kegembiraan ini dengan golongan orang pekak yang selama ini tidak dapat peluang ikuti apa yang sedang dibincangkan dalam Dewan Rakyat.
"Saya rasa ini adalah kemenangan kami dan kerjasama serta usaha keras dari pihak NGO untuk pastikan tiada diskriminasi dalam golongan OKU untuk mengikuti hujah ahli parlimen dalam dewan rakyat," katanya menerusi sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Bermula hari ini, persidangan dewan rakyat akan menampilkan jurubahasa isyarat berrmula pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Hal ini merupakan sejarah kerana pertama kali dilaksanakan di Malaysia.
Sementara itu, Ras Adiba turut berharap agar usaha ini dapat dilanjutkan sehingga petang dengan penambahan jurubahasa isyarat.
"Kita harapkan perkara ini dapat diteruskan dan sesi juga dilanjutkan sehingga petang dengan penambahan jurubahasa isyarat," katanya lagi.