Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Hotel TH gagal capai sasaran kadar penghunian bilik’
Diterbitkan:  Aug 24, 2020 4:50 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) yang mengurus dan mengendalikan rangkaian hotel milik Tabung Haji (TH) hanya mencapai prestasi purata kadar penghunian bilik atau occupancy rate (OCC) antara 37 hingga 45.9 peratus, bagi tempoh 2016 hingga 2019, berbanding sasaran 50.9 hingga 61.7 peratus.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, pencapaian OCC itu adalah berdasarkan kepada purata bilangan bilik bagi tiga hotel TH iaitu TH Hotel Kelana Jaya (THKJ), TH Hotel Penang (THHP) dan TH Hotel Kota Kinabalu (THKK).

“Bagi tempoh itu, purata bilangan bilik yang boleh ditawarkan setiap tahun antara 36,788 hingga 38,887. Secara keseluruhannya, THKK mencatat OCC paling tinggi iaitu antara 46 hingga 57 peratus berbanding hotel TH lain,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, pencapaian OCC paling tinggi dicatat pada 2016 iaitu 45.9 peratus berbanding sasaran pada kadar 61.7 peratus.

“Pencapaian yang rendah ini antaranya disebabkan pemasaran yang kurang agresif, keadaan premis hotel dan kemudahan yang disediakan selain faktor persaingan,” menurut laporan itu.

Tambah laporan itu, OCC yang rendah menyebabkan pengurangan pendapatan kepada THHR.

“Analisis audit mendapati tiada hotel TH yang berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan walaupun THKK merupakan penyumbang terbesar pendapatan sewaan bilik iaitu melebihi 70 peratus berbanding sasarannya setiap tahun,” menurut laporan itu.

Pendapatan sebenar yang berjaya dicapai tiga hotel tersebut antara sejumlah RM16.48 juta hingga RM18.68 juta berbanding sasaran iaitu antara RM26.07 juta hingga RM28.02 juta.

Selain OCC, THHR juga memperoleh pendapatan dari sewaan dewan dan bilik seminar serta aktiviti perniagaan makanan dan minuman (F&B).

“Analisis audit mendapati pendapatan yang diperoleh daripada aktiviti F&B menunjukkan trend yang konsisten iaitu antara sejumlah RM8.03 juta hingga RM8.42 juta bagi tempoh tersebut.

Secara keseluruhannya, laporan itu merumuskan pencapaian output berdasarkan OCC dan pendapatan adalah tidak cekap kerana tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Justeru, bagi memantapkan keupayaan tadbir urus korporat dan meningkatkan pengurusan hotel, laporan itu mengesyorkan agar pengurusan THHR mempertingkatkan pendapatan syarikat melalui usaha promosi yang lebih efektif secara berterusan.

Selain itu, laporan itu turut mengesyorkan agar tindakan segera diambil terhadap semua kerosakan yang berlaku supaya bilik penginapan dan peralatan dapat digunakan secara optimum.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS