Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya adik Zahid boleh iyakan status Lewis & Co - saksi

Hanya adik Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi sahajalah yang dapat menceritakan sama ada firma guaman Lewis & Co merupakan pemegang amanah kepada Yayasan Al-Falah atau pun tidak.

Hal itu diakui saksi ke-66, Faisalludin Mohamat Yusuff, yang merupakan ahli lembaga pemegang amanah dan peguam Yayasan Al-Falah, dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal.

Zaidi: Kalau kita tengok surat ini sekali lalu, satu-satunya orang (the only person), yang boleh menceritakan apa sebenarnya berlaku, (apakah) Lewis & Co ini betul-betul dilantik (sebagai pemegang amanah Yayasan Al-Falah), ialah Datuk Seri Nasaee. Boleh setuju?

Faisalludin: Saya setuju.

Zaidi: Kalau Datuk Seri Nasaee dipanggil, hanya dia boleh mengiyakan sama ada (B) Muralidharan (atau) Lewis & Co pernah dilantik sebagai pemegang amanah kepada Al-Falah?

Faisalludin: Saya setuju.

Faisalludin dipanggil semula oleh pembelaan hari ini untuk disoal balas ekoran pindaan yang dibuat pendakwaan terhadap pertuduhan Ahmad Zahid sebelum ini, dalam perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Ahmad Zahid.

Terdahulu, Faisalludin dirujuk oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt dengan satu surat arahan dari Yayasan Al-Falah kepada Lewis & Co agar firma itu membuat rayuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melepaskan pembekuan simpanan tetap milik yayasan itu.

Berdasarkan surat itu, arahan itu memandangkan simpanan-simpanan tetap tersebut dipegang oleh Lewis & Co atas amanah bagi pihak Yayasan Al-Falah, dan wang simpanan tetap tersebut digunakan untuk “tujuan amal agama bagi membina masjid-masjid dan sekolah-sekolah tahfiz”.

Dalam pemeriksaan semula oleh Lee itu, Faisalludin mengaku tidak pernah melihat surat itu sebelum ini, namun mengecam tandatangan Nasaee pada surat berkenaan.

Lee: Kamu tahu tak, kalau dari segi surat ini, Yayasan Al-Falah ada melantik Lewis & Co untuk bertindak atas kapasitinya. Betul atau tidak?

Faisalludin: Saya kurang setuju.

Dalam pemeriksaan balas sebelumnya oleh Zaidi, Faisalludin mengaku “terkejut” dengan kenyataan Muralidharan yang merupakan rakan kongsi Lewis & Co, bahawa firma itu merupakan pemegang amanah Yayasan Al-Falah dan bukannya pemegang amanah Yayasan Akalbudi- seperti dicadangkan secara konsisten oleh pasukan pembelaan di sepanjang perbicaraan.

“Pertama saya terkejut bila membaca di media. Kedua, ia ialah satu yang tidak benar. Kami (Yayasan Al-Falah) tidak pernah melantik firma Lewis & CO atau Encik Murali sebagai peguam atau pemegang amanah kepada perkara yang dibangkitkan,” katanya.

Muralidharan merupakan saksi ke-87 perbicaraan yang dilakukan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu.

Untuk rekod, berdasarkan kenyataan Faisalludin sebelum ini, Yayasan Al-Falah ialah yayasan keluarga besar Hamidi@Ahmad Tarmidzi Radin Abdul Fateh, dipengerusikan oleh adik Ahmad Zahid - Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi - manakala Yayasan Akalbudi adalah untuk Ahmad Zahid seorang sahaja.

Selain pengerusi, Nasaee juga merupakan ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Al-Falah seperti Faisalludin.

Sementara Ahmad Zahid pula merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal bagi Yayasan Akalbudi.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Muralidharan bersama seorang lagi rakan kongsi Lewis & Co, V Premshangar memberi keterangan bahawa firma itu tidak pernah menjadi pemegang amanah untuk Yayasan Akalbudi.

Ketika disoal Zaidi, Faisalludin menafikan Yayasan Al-Falah ada mencadangkan melantik Lewis & Co, atau mana-mana firma sebagai pemegang amanah kepada duit atau akaun Yayasan Al-Falah.

Dia turut menjawab yayasan tidak pernah memberi arahan kepada Muralidharan untuk mengeluarkan cek atau memasukkan duit ke dalam simpanan tetap yayasan, tidak pernah memberikan cek kepada Muralidharan untuk dimasukkan ke akaun yayasan, atau membenarkan Muralidharan melakukan apa-apa urusan kewangan Yayasan Al-Falah.

Yayasan juga, akuinya, tidak pernah memberi arahan kepada Muralihdaran untuk mengeluarkan cek bagi membayar individu, syarikat atau bank dan sebagainya.

“Tak pernah yang arif. Saya ingin tambah, saya baru jumpa Encik Murali tadi, di bilik saksi. Itu pertama kali saya jumpa dia,” katanya.

Zaidi: Kalau saya rumuskan, berdasarkan jawapan-jawpaan Encik Faisalludin tadi, Muralidharan daripada Lewis & Co ini tak pernah menjadi pemegang amanah kepada Yaysaan Al-Falah. Boleh setuju?

Faisalludin: Saya setuju.

Ketika disoal balas sekali lagi oleh Zaidi selepas pemeriksaan semula oleh pendakwaan, Faisalludin bersetuju bahawa surat yang dirujuk itu bukanlah surat lantikan buat Lewis & Co untuk menjadi pemegang amanah kepada Yayasan Al-Falah.

Sebelum Faisalludin dipanggil semula tadi, Muralidharan terlebih dahulu menyambung pemeriksaan balas oleh peguam bela Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh, dan pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt, Raja Rozela Raja Toran, dan Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS