Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Jawatan Azmin Ali dalam Bersatu belum dibincangkan’
Diterbitkan:  Aug 24, 2020 1:04 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Timbalan Presiden Bersatu Faizal Azumu hari ini menegaskan bahawa majlis kepemimpinan parti itu belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan Azmin Ali dalam parti itu.

“Saya ingin menjelaskan di sini ketika menjawab persoalan daripada pihak media, saya telah menjelaskan bahawa apa sahaja cadangan mengenai jawatan  Azmin dalam Bersatu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

“Perkara ini tidak pernah dibincangkan sebelum ini dan saya ingin menegaskan apa juga perkara berkaitan dengan parti akan diperhalusi dan diperbincangkan di dalam mesyuarat MPT  parti,” kata Faizal dalam siaran akhbar sulungnya sebagai timbalan presiden Bersatu yang baru, hari ini.

Menurut Bernama semalam, Faizal dilaporkan berkata mesyuarat agung luar biasa (EGM) Bersatu bakal membincangkan pelantikan Azmin sebagai seorang daripada naib presiden parti itu

Kenyataannya hari ini walau bagaimanapun tidak menyebut mengenai kedudukan naib presiden. Ia sekadar menyebut kedudukan Azmin dalam saf kepimpinan Bersatu.

Azmin dan ribuan pengikutnya menyertai Bersatu secara rasmi pada Sabtu lalu, yang serentak dengan berakhirnya pemilihan kepemimpinan Bersatu.

Dia dijangka diserap dalam saf kepimpinan Bersatu memandangkan dirinya adalah menteri kanan dalam kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga adalah presiden Bersatu.

Azmin dianggap sebagai antara tokoh penting yang berperanan utama dalam menjatuhkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini bekerjasama dengan Bersatu pada bulan Februari lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS