Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu sawit, sempadan Selangor - WP antara tumpuan Dewan Rakyat
Diterbitkan:  Aug 24, 2020 10:57 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

PARLIMEN | Impak hasil promosi sawit oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di luar negara adalah antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengenai impak utama promosi sawit di negara-negara yang pernah dilawati, kepada industri sawit negara.

Selain itu, Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) akan bertanya kepada kementerian sama mengenai langkah untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja sektor perladangan komoditi akibat pemberhentian kemasukan pekerja asing susulan Covid-19.

Isu sempadan Wilayah Persekutuan dan Selangor pula dibangkitkan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) yang meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan status terkini penyelesaian sempadan tersebut.

Perbahasan bagi Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID- 19)) 2020 turut dijadual bersambung hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS