Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed menyatakan Pasukan Khas Menangani Isu Felda akan membentangkan laporan penuh berkaitan agensi itu termasuk usaha pengukuhan kewangannya, selewat-lewatnya awal bulan depan.

Ini merupakan susulan daripada pembentangan kertas putih 'Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan' (Felda) yang dibentangkan di Parlimen pada April tahun lalu.

Pengumuman Mustapa tersebut selepas perjumpaan dengan kepimpinan Felda Trolak Utara dan Selatan di Slim River. Sebelum itu, pada bulan lepas, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Menangani Isu Felda sempena perasmian sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2020.

Ternyata pengumuman tersebut menunjukkan Felda ialah pasaran politik Melayu terbesar di luar bandar. Mana-mana parti politik berteras Melayu ditentukan oleh hayat politik daripada pengundi Felda sangat menentukan hayat politik mereka.

Undi Felda

Terdapat 54 kerusi parlimen terdapat pengundi Felda yang mewakili suara Melayu. Tanpa sokongan undi Felda maka sukar bagi mana-mana parti dapat berkuasa secara ampuh manakala terdapat 92 kerusi dewan undangan negeri berada di kawasan rancangan Felda.

Sudah pasti tentu ada faktor besar yang membolehkan perubahan budaya politik Melayu kalangan peneroka Felda yang menyebabkan perubahan yang bersejarah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Mana-mana pihak pemerintah yang berkuasa akan mendapat akibat buruk apabila dipersepsikan kurang memberikan perhatian isu Felda yang dilihat kompleks, perlu di lihat secara menyeluruh yang perlu diikuiti dengan tekad politik yang tinggi.

Hal ini kerana terdapat lebih 100 000 peneroka yang sebenarnya terdapat 2.6 juta keseluruhan keluarga Felda. Ini merupakan jumlah besar yang boleh menentukan jatuh bangun parti politik dan ahli politik sendiri.

Buktinya, pada pilihan raya umum ke-14, sejumlah 19 daripada 54 kerusi parlimen Felda berjaya dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan PAS seterusnya memecah tembok kuasa Umno selama ini.

Dalam PRK Slim, terdapat sejumlah lebih 13,000 peneroka Felda daripada keseluruhan 23,094 pengundi dan ini bermakna bahawa terdapat 56.3 peratus undi ditentukan oleh golongan Felda.

Daripada sejumlah tersebut terdapat lima daripada 11 Pusat Daerah Mengundi merupakan kawasan Felda, namun Slim dianggap kawasan kubu kuat Barisan Nasional kerana adanya kawasan peneroka Felda.

Felda Gunung Besout 2 memiliki pengundi terbesar, iaitu lebih 4000 pengundi, diikuti Felda Trolak utara dan selatan masing-masing mempunyai pengundi melebihi 2000 pengundi. Selebihnya kawasan-kawasan lain mempunyai lebih 1000 pengundi.

Kluster Permasalahan

Terdapat pelbagai masalah peneroka Felda di kawasan Slim misalnya, terdapat peneroka dan generasi kedua Felda menganggap urusan perumahan cukup mencabar untuk memiliki rumah sendiri dan memerlukan diperbanyakkan lagi proijek perumahan di kawasan tersebut misalnya di Felda Gunung Besout 2.

Kapasiti generasi kedua sudah lebih 2,000 orang, belum lagi generasi ketiga Felda manakala rumah yang baru baru 102 buah siap.

Dalam perjanjian, lazimnya nama isteri dan anak sulung dinamakan dan ini sukar untuk membuat penempatan anak-anak mereka dalam keadaan kawasan lot yang kecil. Pada masa yang sama boleh membawa kepada urusan perwarisan yang tidak selesai.

Skim penanaman semula membawa kepada hutang tinggi kerana mengambil elaun sara hidup tinggi yang banyak. Dalam pemahaman biasa, elaun sara hidup ialah wang diberikan atas kerja dilakukan.

Bagaimanapun dalam konteks peneroka, ia bukan wang percuma sebaliknya, ia bermakna pinjaman sara hidup yang telah dipersetujui dalam tanaman semula. Yang menyebabkan kos operasi tinggi adalah disebabkan oleh wang sara hidup tersebut yang sebenarnya hutang yang sebenarnya membawa budaya berhutang dengan Felda.

Kos pemulihan ladang juga tinggi misalnya urus kos baja dan anak benih, buruh, kos gali lubang, tanam,risiko pokok mati. Pada masa yang sama kerja-kerja ini juga bergantung kepada kemampuan peneroka Felda dan dibantu oleh pihak Felda. Bagi yang berhemah mereka akan menanam berperingkat demi peringkat untuk menjimat kos.

Terdapat juga tidak menyertai penanaman semula Felda. Golongan ini tidak ramai kerana apabila tidak menyertai skim ini mereka dicurigai sebagai ‘pembangkang’, berhadapan dengan tindakan dipulaukan dan dianggap tidak mengikut arus perdana setempat.

Bagaimanapun, golongan inilah beruntung apabila tidak terikat dengan Felda khususnya apabila harga kelapa sawit ini naik masa kini, mereka akan mendapat hasil dengan lumayan manakala yang menyertai skim penanaman semula terus kekal menerima elaun sekitar RM1500 sahaja.

Di Felda Chini misalnya hanya 11 sahaja buat sendiri daripada 400 peneroka. Ini mengukuhkan lagi fakta bahawa tidak sampai 5 peratus sahaja penerok seluruh negara berani mengusahakan sendiri.

Terdapat juga berlaku kalangan terikat dengan penanaman semula isu kelewatan bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil.

Daripada satu aspek, elaun sara hidup tersebut dahulunya hanya berjumlah RM500 yang dipertingkat kerana tidak ada hasil penananaman untuk tahun ketiga atau keempat pertama. Kemudian dipertingkatkan kepada RM1500 sebulan. Ini sebenarnya bermakna hutang akan semakin bertambah dalam tempoh jangka masa lama.

Dengan sejumlah RM1500 sebulan tentulah sukar untuk menampung keperluan kos hidup seharian khususnya yang mempunyai keluarga besar. Keterikatan dengan hutang akan memerangkap mereka lingkaran kemiskinan lebih-lebih lagi yang berhutang pada berusia lanjut.

Pihak Felda perlu membantu menangani isu ini lebih berhati-hati agar tidak menjadi isu politik nasional yang boleh meruntuh sebuah kerajaan sebagaimana berlaku pada pilihan raya umum ke-14.

Masa depan

Dari segi politik jangka panjang, sudah tentu anak moden peneroka Felda mahu melihat rancangan pembangunan bersejarah ini bebas dan menjadi kampung tradisi dan tidak terikat dengan agenda politik serta tidak mahu dianggap sebagai deposit politik semata-mata oleh pihak parti politik berkepentingan.

Pasti ini tentu memerlukan mekanisme tertentu dan kertas putih mengenai Felda yang dibentang pada tahun lepas merupakan antara kunci kepada penyelesaian isu Felda.

Pada masa yang sama isu pelaburan Felda yang di luar pengetahuan peneroka Felda seperti pembelian pegangan ekuiti PT Eagle High Plantation, pembelian Park City Grand Kesington, isu Grand Felda House dan beberapa yang lain hanyalah tip of iceberg atau sebahagian kecil daripada permasalahan yang melanda Felda.

Sudah tibanya pihak kerajaan perlu bergerak ke depan dan menangani isu ini bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada institusi yang terlibat sebelum menjadi ledakan bom politik!


PROF MADYA DR AWANG AZMAN AWANG PAWI ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS