Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek PPR: P Pinang mahu penjelasan KPKT
Diterbitkan:  Aug 24, 2020 8:19 AM
Dikemaskini: 12:19 AM

Kerajaan negeri Pulau Pinang menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjelaskan status terkini Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah bertanyakan kepada KPKT pada 11 Ogos mengenai pelaksanaan projek PPR di seluruh negara tahun ini dan jumlah kosnya.

Beliau berkata KPKT membalas dengan sepucuk surat rasmi menyatakan bahawa walaupun tiada projek PPR baru yang diluluskan, 11 projek PPR sedia ada di bawah Rolling Plan ke-4 tahun ini telah dilaksanakan dengan jumlah anggaran kos sebanyak RM890 juta.

“Menurut surat itu, pelaksanaan projek PPR yang diluluskan terletak di Johor, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Sabah. Pulau Pinang tidak termasuk,” katanya pada sidang media di George Town, semalam.

Beliau memetik kenyataan daripada Ketua Setiausaha KPKT Datuk Seri Mohammad Mentek pada Disember tahun lepas yang menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan akan membina 14 projek PPR pada 2020.

“Kami mahukan penjelasan daripada KPKT mengenai status projek PPR di Pulau Pinang. Kami berharap kementerian akan mengkaji dan mempertimbangkan semula untuk memberi keutamaan kepada Pulau Pinang (dengan meluluskan projek PPR kami),” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS