Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pemilihan Kiandee bukti Bersatu iktiraf Bumiputera bukan Islam'

Pemilihan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai antara tiga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan keterbukaan dan pengiktirafan tinggi ahli akar umbi Bersatu terhadap Bumiputera bukan Islam, kata Ketua Penerangan Bersatu Sabah Khairul Firdaus Akhbar.

Beliau berkata keputusan itu bukti jelas komitmen menjadikan parti itu sebagai wadah seluruh bangsa peribumi tanpa mengira latar belakang kumpulan etnik, pegangan agama atau faktor wilayah.

Katanya pemilihan Kiandee yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berasal daripada rumpun kaum Kadazandusun Murut (KDM) adalah citra inklusiviti dan keterangkuman perjuangan Bersatu sebagai platform untuk semua bangsa peribumi dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

"Ini dapat dilihat melalui keputusan bagi pemilihan jawatan ketiga tertinggi dalam parti iaitu Naib Presiden.

“Beliau (Kiandee) Ketua Bersatu Bahagian Beluran memperoleh undian tertinggi iaitu sebanyak 84 peratus undian," katanya dalam kenyataan, di Kota Kinabalu hari ini.

Dua lagi dipilih sebagai Naib Presiden parti bagi penggal 2019 hingga 2022 ialah Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS