Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Langkah jadikan Bersatu pelbagai kaum suatu pertaruhan

Cadangan Bersatu membenarkan anggota bersekutunya dari kalangan bukan Bumiputera memegang jawatan dalam parti itu merupakan suatu pertaruhan  susulan penyertaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali.

Penganalisis politik berkata, ini kerana Azmin, yang menjanjikan sokongan lebih 200,000 penyokong akar umbi dari Penggerak Komuniti Negara dan NGO pro-PKR sebelum ini, telah membawa wakil-wakil rakyat atau pemimpin dari kalangan masyarakat bukan Melayu untuk menyertai Bersatu.

Penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi berkata, implikasi politik daripada langkah menjadikan Bersatu sebagai parti pelbagai kaum boleh menyebabkan penentangan akar umbi yang lebih "konservatif", bukan hanya dari luar parti tetapi juga dari dalam parti itu sendiri.

"Orang Melayu yang lebih konservatif baik dalam Bersatu dan di luar parti akan melihat Bersatu telah tersasar daripada tujuan dan objektif asalnya," kata profesor di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya itu.

Dia juga menyatakan langkah menjadikan Bersatu parti berbilang kaum adalah petanda pengaruh kuat Azmin, dengan kemungkinan akan menjadi orang kanan Muhyiddin.

"Sebilangan mungkin melihat Azmin sebagai 'anak emas' Muhyiddin dan ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam Bersatu.

"Mereka yang berada dalam Bersatu yang tidak setuju dengan kemasukan Azmin mungkin meninggalkan parti itu untuk menyertai parti-parti berasaskan Melayu yang lain, sama ada untuk menyertai semula Umno atau Pejuang," kata Awang Azman merujuk parti politik terbaru yang diasaskan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Pensyarah sains politik Wong Chin Huat pula berkata, kegagalan menguruskan penentangan dari dalam atau luar Bersatu berpotensi membawa padah kepada parti itu.

"Bolehkah Bersatu 'mengahwini' nasionalisme Melayu dan politik pelbagai kaum sehingga ia boleh menggabungkan kedua-duanya?

"Daripada menjadi 'Umno yang direformasikan' (nasionalis Melayu), ia juga mahu menjadi 'PKR yang lain' (berbilang kaum)," katanya.

"Cubaan menjadi nasionalis Melayu dan berbilang kaum pada masa yang sama lebih cenderung mengasingkan asas Melayu, dan pada masa sama akan dijauhi oleh orang bukan Melayu.

"Ini mungkin hanya akan menguntungkan pengikut Azmin yang bukan Melayu yang tiada tempat atau merasa tersekat dalam PKR," katanya.

Bekas Anggota Parlimen Segamat yang juga bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara Kumar bulan lalu menjadi anggota parlimen bukan Melayu pertama menyertai Bersatu.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pada Kongres Nasional 2020 parti itu semalam, berjanji bahawa Bersatu akan memperkuatkan peranan anggota bersekutunya, termasuk melalui pindaan perlembagaannya.

Perdana menteri sebelum itu menerima permohonan rasmi Azmin untuk menyertai Bersatu, bersama dengan bekas anggota parlimen PKR lain yang sebelum ini keluar parti untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Pada sidang media kemudiannya, Azmin menyifatkan tindakan Bersatu sebagai sebahagian daripada usaha reformasi yang dijanjikan PN untuk mewakili seluruh rakyat Malaysia.

Azmin juga menafikan cubaan menjadikan Bersatu sebagai "PKR 2.0"atau meraih kedudukan peribadi dalam parti itu.

Penganalisis politik, Jeniri Amir berkata, keputusan muktamad untuk memperkukuhkan peranan anggota Bersatu akan "mengabsahkan kedudukan mereka" dan memberi imej positif kepada parti itu menjelang pilihan raya umum ke-15 akan datang.

"Ini adalah strategi yang diatur oleh Bersatu untuk maju sebagai parti berbilang kaum," kata bekas profesor Universiti Malaysia Sarawak itu.

"Ketika Bersatu dilihat bekerjasama dengan Muafakat Nasional, dengan gambaran sentris-Melayu yang kuat, keterbukaan terhadap ahli-ahli bersekutunya akan memungkinkan parti itu memiliki naratif yang lebih positif," kata Jeniri merujuk kepada kerjasama Bersatu dengan Umno dan PAS, yang mewakili tiga parti berasaskan Melayu-Islam terbesar.

Dia menambah, gambaran positif itu dapat memberi manfaat kepada Bersatu dan PN pada pilihan raya negeri Sabah yang akan datang di mana kurangnya dominasi parti berasaskan kaum.

Walaupun dapat meluaskan sokongan, Wong berkata cabaran sebenar untuk Bersatu adalah untuk kekal mempertahankan 15 kerusi parlimennya yang kini dikuasai oleh bekas pemimpin Umno.

"Penyokong Azmin yang bukan Melayu akan bertanding di kerusi campuran di mana Umno dan PAS berpeluang kecil (untuk menang). Itu bukan masalah.

"Masalahnya ialah sama ada Umno akan membenarkan Bersatu memiliki 15 kerusi yang ditandingi Umno.

"Umno mahu mereka kembali (bertanding) dan Bersatu tidak mampu melepaskan 15 kerusi yang boleh dimenanginya," tambahnya.

Perlu hak mengundi

Selain membenarkan ahli bersekutu memegang jawatan dalam parti, Awang Azman berkata, Bersatu juga harus memberikan kuasa mengundi samarata, untuk meletakkannya dalam liga yang sama dengan PKR, DAP atau parti-parti pelbagai kaum lain.

"Jika tidak, ini hanya akan mengesahkan persepsi bahawa kemasukan bukan Bumiputera dalam Bersatu adalah semata-mata untuk menampung penyokong Azmin," katanya.

Sementara itu, Wong menyifatkan hak undi samarata sebagai langkah penting terhadap imej parti itu, walaupun hakikatnya sukar bagi pemimpin bukan Melayu untuk bangkit dalam parti yang didominasi Melayu dan berideologikan parti nasionalis Melayu.

Kemasukan Azmin dan rakan-rakannya menambah jumlah anggota Parlimen Bersatu kepada 31 orang.

Parti itu kini berada di belakang DAP, Umno dan PKR sebagai parti keempat terbesar di Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS