Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Kelantan di Kampung Telok di Panji di Kota Bharu dijangka dijadikan Pusat Analisis Ketum Zon Timur menjelang tahun 2022, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim.
Beliau berkata perkara tersebut telah dicadangkan pihak Jabatan Kimia Kelantan memandangkan berlakunya lambakan kes ketum di negeri ini yang menyumbang 40 peratus tangkapan kes dadah di Kelantan.
"Perkara ini dicadangkan sendiri oleh Jabatan Kimia Kelantan memandangkan perkembangan semasa yang berlaku di sini. Dengan adanya hasil kajian daripada pihak Jabatan Kimia ini, ia akan banyak membantu pelbagai pihak.
"Kita di bawah Jabatan Kimia sendiri ada beberapa pusat antaranya ialah Pusat Analisis DNA, Pusat Analisis Air dan kini dicadangkan pula pusat untuk analisis ketum," katanya kepada pemberita bersempena perasmian bangunan Jabatan Kimia Kelantan. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia Mohamed Zaini Abdul Rahman.
Bangunan tersebut digunakan sejak 10 tahun lepas dengan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM31.7 juta.
Ahmad Amzad berharap dengan adanya pusat-pusat analisis penting itu akan menyerlahkan lagi peranan jabatan yang kini sudah berusia 111 tahun.
“MOSTI melihat peranan yang dimainkan Jabatan Kimia Malaysia Kelantan penting selaras dengan perkembangan pembangunan yang akan memerlukan lebih banyak perkhidmatan berkait jabatan kimia,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Zaini dalam ucapannya berkata bagi tahun 2018 dan 2019, Jabatan Kimia Kelantan telah menerima masing-masing 2,477 dan 2,492 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 24 tan, tidak termasuk lima tan untuk tahun ini.
Katanya, dengan mengambil kira peningkatan kes tersebut, pihaknya mencadangkan penubuhan pusat tersebut melibatkan kawasan zon timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu.
"Ia akan mempercepatkan urusan pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam, Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan agensi-agensi lain," katanya.
- Bernama