Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) merupakan isu panas yang ditentang pasukan keselamatan itu dan wakil rakyat dari Muafakat Nasional.
Polis berpendapat suruhanjaya itu suatu pencerobohan yang tidak wajar terhadap hal ehwal mereka, manakala ahli politik yang menentangnya pula mendakwa IPCMC memangsakan pasukan itu.
Bagaimanapun, terdapat pertimbangan lain yang menjadi perhatian ahli politik, iaitu undi para anggota polis.
Kajian semula keputusan pengundian awal dari pilihan raya umum 2018 menunjukkan 76.1 peratus undi polis diberikan kepada BN, berbanding 13.6 peratus untuk Pakatan Harapan dan 9.5 peratus untuk PAS.
Sebagai perbandingan, hanya 53 peratus undi tentera diberikan kepada kerajaan BN yang berkuasa ketika itu.
Angka tersebut tidak termasuk undi pos, yang merupakan gabungan undi polis, tentera, dan pengundi dari luar negara.
Ketika dihubungi, beberapa pegawai polis memberitahu Malaysiakini bahawa IPCMC memang akan mempengaruhi siapa yang akan diundi oleh anggota pasukan itu..
"Ya," kata seorang pegawai, yang bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan, ketika ditanya sekiranya IPCMC akan mempengaruhi parti mana yang hendak diundi.
Pegawai itu membatah IPCMC, berkata tidak semua polis bermasalah dan mereka tidak boleh diadili oleh suruhanjaya tersebut.
Seorang pegawai lain, yang juga enggan mendedahkan namanya, menyokong IPCMC tetapi mengakui dampak terhadap cadangan itu.
"Keputusan mengenai IPCMC mungkin tidak mempengaruhi keputusan undi saya.
"Tetapi ia pasti akan mempengaruhi banyak undi dari anggota polis yang lain," katanya.
Pada tahun 2006, buletin dalaman polis mengatakan pasukan tersebut memberi amaran akan mengundi pembangkang sekiranya BN, yang merupakan kerajaan ketika itu meneruskan IPCMC.
Dengan beberapa pengecualian, undi polis biasanya hanya membentuk demografi kecil di suatu kawasan parlimen.
Bagaimanapun, penganalisis politik Wong Chin Huat berkata dalam pilihan raya umum setiap undi adalah penting.
“Apabila pertarungan sedang sengit, semakin luas undi polis - termasuk ahli keluarga mereka - adalah penting.
"BN/ PN yang tidak pernah hirau dengan IPCMC akan ingin memansuhkannya untuk memuaskan suatu segmen pengundi pilihan raya tersebut,” kata Wong kepada Malaysiakini.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dijangkakan akan membentangkan versi baru IPCMC, suruhanjaya yang telah disemak semula, yang kini digelar Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC) dalam beberapa hari nanti.
Menurut seorang ahli parlimen Perikatan Nasional yang mempunyai pengetahuan mengenai rang undang-undang tersebut, IPCC hanya boleh menyiasat aduan dan sebarang tindakan lanjut perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis.
Ahli parlimen itu memberitahu Malaysiakini bahawa polis bersikap terbuka dengan rang undang-undang baru ini.
Ia berbeza dengan IPCMC yang diusulkan oleh PH tahun lalu, yang memungkinkan suruhanjaya tersebut mengambil tindakan yang termasuk memberi amaran, pemotongan gaji, hingga pemecatan terhadap pegawai yang didapati melakukan kesalahan.
IPCMC pertama kali dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2005, ketika pentadbiran perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Ia kemudian, diredakan menjadi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) selepas bantahan keras oleh pasukan polis di bawah ketua polis negara pada waktu itu, Musa Hassan.