Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertama kali dalam sejarah menteri pulang gaji kerana buat silap, kata pemimpin PAS
Diterbitkan:  Aug 22, 2020 11:05 PM
Dikemaskini: 3:05 PM

Ketika Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali menjadi sasaran kritikan susulan pelanggaran kuarantin kendiri dan kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadapnya, rakan seperjuangannya dari PAS tampil menyatakan sokongan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mohd Mazri Yahya berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah negara seorang menteri sanggup memulangkan gaji apabila melakukan kesalahan.

Mohd Mazri merujuk tindakan Khairuddin mengumumkan akan mendermakan empat bulan gajinya sebagai menteri selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati dia bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Pernah ke dalam sejarah negara, menteri melakukan kesilapan dan kemudian memulangkan kembali gajinya selama beliau bertugas?

“Tidak pernah. Dan Inilah yang pertama.

“Saya kira ini merupakan perkembangan yang baik untuk negara. Rakyat menegur dan menteri menerima teguran dan memikul tanggungjawab tersebut,” katanya di Facebook.

Khairuddin sebelum ini akur dan memohon maaf berhubung isu berkenaan selepas memaklumkan telah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin kerana gagal mematuhi peraturan berkaitan pencegahan Covid-19.

Kompaun itu dikatakan dikenakan pada 7 Ogos lalu.

Khairuddin yang merupakan anggota Parlimen Kuala Nerus dituduh melanggar perintah kuarantin 14 hari yang dikenakan terhadap sesiapa yang baru tiba dari luar negara, selepas pulang daripada lawatan ke Turki pada 7 Julai.

Hal itu didedahkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Dewan Rakyat 18 Ogos lalu, dan sejak itu terdapat warganet mengkritik tindakan Khairuddin yang ingkar kuarantin 14 hari berkenaan.

Malah, selepas kenyataan KKM pun, terdapat pihak yang mempertikaikan jumlah kompaun yang dikenakan, dan membandingkan dengan kes-kes ingkar kuarantin sebelum ini yang dikenakan denda lebih tinggi, didakwa di mahkamah, malah ada sehingga dipenjara.

Sementara itu, mengulas isu sama, AJK Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut menitipkan kata-kata semangat untuk rakan sejawatannya dalam PAS itu, dan mendoakan agar Allah merahmati sahabatnya itu.

“Ia satu pelajaran yang memberi pengajaran kepada saya juga, juga beliau sendiri. Allah lebih tahu bagaimana ujian-Nya itu adalah demi mengangkat atau menurunkan darjat hamba-Nya.

“Jangan merana dan hampa dengan ujian Allah. Terima dan nikmatinya dengan iman dan taqwa,” katanya di Facebook.

 

Kata Nik Abduh, keputusan Khairuddin untuk memohon maaf dan mendermakan gajinya sebagai menteri kepada Tabung Covid-19, membuatkan dia yakin Allah mengilhami sahabatnya itu dengan kebaikan dan rahmat.

“Terus berjalan. Terus berkhidmat. Begitulah anak-anak PAS, insya-Allah,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS