Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'KKM dipaksa keluar kenyataan separuh benar isu kompaun Khairuddin?'
Diterbitkan:  Aug 22, 2020 10:12 PM
Dikemaskini: Aug 23, 2020 3:18 AM

Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok mempersoalkan apakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipaksa untuk mengeluarkan “kenyataan separuh benar” susulan kompaun RM1,000 yang dikenakakan terhadap Khairuddin Aman Razali kerana melanggar perintah kuarantin.

Katanya, ramai rakyat Malaysia yang terkejut dengan kenyataan KKM bahawa Menteri Perladangan, Perusahaan dan Komoditi itu telah dikenakan kompaun itu pada 7 Ogos lalu, dan dikatakan telah menjelaskan kompaun berkenaan.

Soal Kok, pelanggaran kuarantin itu dibangkitkan olehnya di Dewan Rakyat pada 18 Ogos lalu, namun selama ini Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) Dr Noor Hisham Abdullah hanya berkata KKM sedang menyiasat perkara berkenaan.

“Kenapakah hari ini baru KKM memberitahu orang ramai bahawa kompaun telah dikeluarkan kepada beliau dan beliau telah menjelaskan denda tersebut?

“Memang tidak mungkin menteri dan KPK tidak tahu bahawa kompaun telah dikeluarkan pada 7 Ogos dan Khairuddin telah bayar denda itu, tetapi kena tunggu empat hari kemudian baru buat pengumuman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah tambahnya, Khairuddin sendiri seharusnya memberitahu tentang bayaran kompaun RM1,000 ketika disoal pemberita, tetapi dia baru membuat pengumuman maaf dan pemotongan gajinya hari ini.

“Jadi, adalah jelas kenyataan KKM hari ini dan juga kompaun RM1,000 kepada menteri pada 7 Ogos 2020 dibuat atas arahan ataupun paksaan daripada pihak atasan, sama ada kabinet ataupun MKN (Majlis Keselamatan Negara),” kata Kok.

Kok turut mengungkit kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada 13 Ogos lalu, bahawa sesiapa yang didapati sengaja ingkar perintah kuarantin, tidak lagi akan dikenakan kompaun, tetapi akan terus dihadapkan ke mahkamah.

“Persoalannya ialah kenapakah semua pesalah dihadap ke mahkamah, tetapi menteri kabinet ini diberi layanan istimewa dengan penjelasan kompaun RM1,000 yang diundur tarikh (backdated).

“Sekali lagi, rakyat lihat layanan dua darjat berlaku dalam pelaksanaan perintah kawalan Covid-19. Kemarahan rakyat adalah jelas ditunjukkan dalam Facebook KKM,” katanya lagi.

Kok merupakan individu yang mula-mula membangkitkan pelanggaran kuarantin Khairuddin di Parlimen pada 18 Ogos, mendakwanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selepas melakukan lawatan ke luar negara.

'Kenapa tak dibawa ke mahkamah?'

Mengulas isu sama, peguam Haniff Khatri dalam satu klip video yang dimuat naik di Facebooknya menyorot bahawa sejak penguatkuasaan kuarantin kendiri 10 Jun lalu, ramai orang awam telah dibawa ke mahkamah.

Dia memetik beberapa kes seperti warga emas yang dihukum khidmat masyarakat selama dua bulan manakala menantunya dikenakan denda RM2,000; kes “wanita gelang pink” yang dikenakan denda sehari dan denda RM8,000; serta lelaki di Balik Pulau yang dideda RM2,500.

“Persoalannya, kenapa dalam kes Khairuddin ini, pihak pelaksana undang-undang walaupun terdapat laporan polis terhadapnya, tidak membawanya ke mahkamah? Kenapa ada perbezaan antara Khairuddin dengan orang awam?” soalnya.

Pada hematnya, berdasarkan keputusan mahkamah sebelum ini, sekiranya Khairuddin dihadapkan ke mahkamah, dia menjangkakan AJK PAS pusat itu akan dikenakan hukuman sama ada penjara lebih daripada setahun mahupun denda sekurang-kurangnya RM2,000.

“Jika hukuman tersebut dikenakan, maka Kharuddin sudah pastinya akan hilang kerusi sebagai ahli Dewan Rakyat,” katanya lagi.

“[...] Kalau perkara-perkara ini yang diambil kira (untuk tidak membawa kes Khairuddin ke mahkamah), maka memang kedaulatan undang-undang boleh dikatakan telah dicabul dan diperkosa,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Haniff juga mempersoalkan sama ada kerajaan sebenarnya bersekongkol untuk tidak mendedahkan bahawa Khairuddin pulang dari luar negeri dan perlu dikuarantin, untuk membolehkannya hadir di Parlimen pada 13 Julai.

"Dia tidak pernah memakai gelang merah jambu itu, jadi mungkinkah kerajaan merancang supaya tiada orang sedar? Jika ia sebenarnya dirancang, ia merupakan penipuan besar terhadap parlimen," katanya.

Persidangan 13 Julai adalah sesi pertama parlimen kali ini yang masih berlangsung.

Pada hari itu, kerajaan Perikatan Nasional memilih untuk menyingkirkan Mohd Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat dan berjaya dengan 111 undi berbanding 109.

Untuk rekod, kuarantin kendiri digantikan dengan kuarantin wajib di pusat yang ditetapkan bermula 24 Julai.

Rosakkan imej KKM

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi pula melihat hukuman dua darjat oleh KKM itu akan menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh diharap dan mengamalkan campur tangan politik.

“Peliknya, kenapa KKM pula yang double standard (dua darjat). Kenapa jumlah kompaun terlalu rendah dan amat tidak adil. Kenapa musnahkan jenama KKM yang sudah hebat," soalnya dalam satu kenyataan.

Katanya, isu Khairuddin membabitkan dua isu besar, pertamanya melanggar peraturan kuarantin 14 hari bagi mereka yang baru pulang dari luar negara, dan keduanya jumlah kompaun yang disifatkan Puad sebagai “ikut suka hati aku”.

“Akhirnya kerajaan PN akan dituduh dua kali lima. Ada campur tangan politik dan tidak boleh diharap.

“Sebab itu jangan gunakan KKM untuk cover line (menyembunyikan kesalahan). Khairuddin patut didakwa di mahkamah,” katanya lagi.

Khairuddin yang merupakan anggota Parlimen Kuala Nerus dituduh melanggar perintah kuarantin 14 hari yang dikenakan terhadap sesiapa yang baru tiba dari luar negara, selepas pulang daripada lawatan ke Turki pada 7 Julai.

KKM dalam kenyataan hari ini memberitahu Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000, setelah didapati bersalah menurut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Kompaun itu dikatakan dikenakan pada 7 Ogos lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS