Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan penyertaannya dan pasukannya yang telah keluar PKR untuk menyertai Bersatu.

Pengumuman itu merasmikan kedudukan mereka sebagai sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), beberapa bulan selepas Azmin dan 10 anggota Parlimen keluar PKR untuk menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

"Dengan penuh rasa ikhlas dan hati yang tulus, pada petang yang keramat ini, saya dan ketumbukan, dari Perlis hingga ke Sabah, sama ada Penggerak Komuniti Negara, Nation of Women (NOW), Pemuda Negara, Wanita Muda Negara dengan ini mengisytiharkan untuk menyertai Bersatu.

"Sekarang adalah masanya untuk Bersatu. Bersatu demi negara, Bersatu untuk Malaysia," katanya ketika berucap dalam Kongres Negara 2020, disaksikan Muhyiddin dan pemimpin utama parti itu yang lain.

Bertemakan Bersatu untuk Negara, kongres tersebut diadakan bagi mengumpulkan NGO-NGO yang berkaitan dengan bekas pemimpin PKR, iaitu Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Wanita Muda Negara dan Nation of Women (NOW).

Sejumlah 2,500 hadirin memenuhi Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur hari ini.

"Langkah Sheraton" pada Februari lalu membawa kepada tumbangnya pentadbiran PH dan perpecahan dalam PKR, dengan parti itu menyingkirkan pemimpin dan anggota yang dikaitkan dengan Azmin, yang ketika itu merupakan timbalan presiden.

Dalam ucapannya, Azmin turut menyentuh cabaran yang pernah dihadapi ketika bersama PKR, yang menurutnya diatasi melalui keputusan dan tindakan "strategik".

"Namun, sehebat mana pun strategi dan pasukan kita, kejayaan dan kemenangan masa hadapan menuntut kita untuk memiliki seorang ‘Commander In Chief’ yang berwibawa, tegas dan berhikmah.

"Saya amat bangga dan berbesar hati kerana pada hari ini, diberikan penghormatan untuk berdiri di sisi ‘Commander In Chief’, Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia," katanya.

Penyertaan kumpulan Azmin dalam Bersatu menjadikan parti itu mempunyai 31

ahli parlimen. Namun, ia masih berada di belakang DAP, Umno dan PKR dari jumlah ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Selain pemimpin Bersatu, turut hadir hari ini ialah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dan beberapa pemimpin PN lain.

Tidak ada pemimpin Umno yang hadir tetapi Azmin pada sidang media kemudian menjelaskan bahawa Setiausaha Agung Umno Annuar Musa telah meminta maaf bagi pihak pemimpin parti mereka.

Dia juga mengatakan bahawa para pemimpin yang berkumpul hari ini akan berkempen untuk calon BN dalam pilihan raya Slim, serta pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS