Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali akhirnya akur dengan kesilapannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.
Dalam kenyataan medianya hari ini, Khairuddin memohon maaf dan menyatakan hasrat untuk memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri.
Perkembangan itu hadir selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin kerana gagal mematuhi peraturan berkaitan pencegahan Covid-19.
"Saya dengan ini memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku.
"Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan SOP sepanjang tempoh PKPP.
"Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, saya juga dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai menteri untuk Mei hingga Ogos 2020 sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.
Dalam kenyataan itu, Khairuddin turut menyorot bahawa gajinya bagi Mac dan April juga telah disumbangkan sebelum ini ke tabung tersebut sebagaimana diputuskan kabinet.
Khairuddin menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak selepas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendedahkan dia tidak menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Khairuddin sebelum ini dilihat mempertahankan diri dengan dengan berkata dia telah menjalani ujian sebanyak tiga kali dan disahkan negatif Covid-19 serta dibenarkan menyertai acara di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.
Bagaimanapun, para pengkritik terus mempersoalkan alasan beliau tidak menjalani kuarantin kendiri seperti ditetapkan kepada mana-mana individu yang pulang dari luar negara.
Susulan itu, KKM hari ini memaklumkan bahawa Khairuddin didapati bersalah menurut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
"Sampel asopharyngeal swab petama telah diambil pada hari yang sama dan dia didapati negatif. Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.
"Oleh kerana Khairuddin gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 342, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepadanya pada 7 Ogos 2020 dan dia telah menjelaskan kompaun tersebut," menurut kenyataan KKM itu.
Rata-rata kritikan terhadap Khairuddin membandingkan denda dan hukuman terhadap orang awam yang didapati bersalah akibat melanggar SOP Covid-19.
Antaranya ialah seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.
Seorang pemilik restoran di Kedah pula dihukum penjara lima bulan serta denda RM12,000 kerana kesalahan sama. Lelaki terbabit adalah kes yang mempunyai kaitan dengan kluster Sivagangga.