Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenakan kompaun RM1,000 kepada Menteri Perusahaan Ladang dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali.
Menurut KKM, ia setelah Khairuddin didapati bersalah menurut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
"Khairuddin telah pulang dari Turki pada 7 Julai 2020. Sampel asopharyngeal swab petama telah diambil pada hari yang sama dan dia didapati negatif. Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.
"Oleh kerana Khairuddin gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 342, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepadanya pada 7 Ogos 2020 dan dia telah menjelaskan kompaun tersebut," menurut kenyataan itu.
KKM bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung kesalahan Khairuddin.
Soal sama ada rombongan Khairuddin turut melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 atau tidak, dan jika mereka juga didenda, turut tidak dinyatakan.
Kenyataan KKM lima hari selepas Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa Khairuddin tidak menjalani kuarantin setelah pulang ke Malaysia.
Dia hadir ke sidang Dewan Rakyat enam hari selepas pulang iaitu pada 13 Julai ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof dengan Azhar Harun sebagai speaker.
Menurut peraturan yang ditetapkan, mereka yang pulang dari luar negara perlu melakukan ujian swab dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
Sebelum ini mereka dibenarkan menjalani kuarantin di rumah. Bagaimanapun berkuatkuasa 24 Julai, semua warga yang pulang dari luar negara diwajibkan menjalaninya di pusat kuarantin kerajaan, selepas ramai yang melanggar syarat kuarantin di rumah.
Selepas pendedahan Teresa, Khairuddin dihujani banyak kritikan terutama dengan mengambil kira orang awam yang telah dikenakan tindakan akibat melanggar SOP Covid-19.
Antaranya seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.
Seorang pemilik restoran di Kedah pula dihukum penjara lima bulan serta denda RM12,000 kerana kesalahan sama. Lelaki terbabit adalah kes yang mempunyai kaitan dengan kluster Sivagangga.
Semalam, Khairuddin menjelaskan tindakannya itu dengan berkata dia telah menjalani ujian sebanyak tiga kali dan disahkan negatif Covid-19 serta dibenarkan menyertai acara di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.