Media rasmi PAS Harakahdaily bertindak balas berhubung kritikan terhadap Menteri Perladangan, Perusahaan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang tidak menjalani kuarantin wajib Covid-19 selepas pulang dari Turki bulan lalu.
Lidah rasmi PAS itu melaporkan Khairuddin merupakan mangsa DAP yang iri hati dengan pencapaian menteri tersebut.
Menurut Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, Anggota Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok cemburu kerana Khairuddin lebih baik berbanding dirinya di Kementerian Perladangan, Perusahaan dan Komoditi.
Kok, yang merupakan bekas menteri Industri Utama sebelum digantikan Khairuddin, mendedahkan di Dewan Rakyat pada 18 Ogos lalu bahawa Khairuddin tidak menjalani kuarantin wajib setelah kembali dari luar negara pada 7 Julai.
Khairuddin hadir ke Parlimen enam hari selepas itu iaitu pada 13 Julai.
"Dalam tempoh 5 bulan sejak mengambil-alih kementerian rakyat telah melihat betapa proaktif dan agresifnya menteri yang baru dalam memikul tanggungjawabnya berbanding Teresa Kok semasa pemimpin DAP itu menjawat jawatan yang sama selama 22 bulan," kata Roslan.
Tambah Roslan, tindakan harus diambil jika terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), namun dia percaya Khairuddin tidak mempunyai niat seperti itu dan mengutamakan tugasnya.
"Janganlah kerana dengki dan iri hati dengan pencapaian kerajaan dan menteri maka apa sahaja peluang yang ada mahu dipolitikkan," katanya seperti dilapor Harakahdaily semalam.
Dalam satu lagi artikel berkaitan isu kuarantin bertajuk: "Serangan DAP terhadap Khairuddin gagal!", Harakahdaily menyenaraikan kritikan-kritikan DAP terhadap Khairuddin selepas didakwa tidak menjalani kuarantin wajib.
"Tujuan mereka disangka mungkin mencapai matlamatnya apabila mengheret banyak individu dikenali ramai yang diketahui umum cenderung kepada Pakatan Harapan untuk menangguk di air keruh turut sama membuat kecaman dan ‘penghakiman’."
"Namun, Dr Khairuddin bertindak matang tanpa membalas tuduhan serta serangan kecaman tersebut apabila memaklumkan beliau telah menjalani ‘swab test’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan didapati negatif.
"Tiga ujian sama dilakukan padanya sejak itu juga memberi keputusan negatif dan dengan sikap profesionalnya beliau telah menyerahkan isu tersebut untuk disiasat dan penjelasan rasmi diberi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," jelasnya.
Portal itu juga menyatakan bahawa kuarantin wajib hanya berkuatkuasa pada 24 Julai dan oleh itu ia merupakan satu "tamparan" kepada DAP.
Menurut SOP Kementerian Kesihatan, semua individu yang pulang dari luar negara mesti menjalani ujian saringan Covid-19.
Sekiranya didapati negatif, mereka akan dihantar ke pusat kuarantin untuk melakukan pengasingan selama 14 hari dan jika sebaliknya, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum 24 Julai, mereka yang pulang dari luar negara dan disahkan negatif masih harus menjalani kuarantin tetapi dibenarkan melakukannya di rumah.
Mereka tidak dibenarkan meninggalkan rumah selama 14 hari dan mesti diuji semula pada hari ke-13 sebelum gelang kuarantin mereka ditanggalkan.
Mulai 24 Julai dan seterusnya, kuarantin wajib dilakukan di pusat-pusat yang ditetapkan oleh kerajaan.
Langkah itu diperkenalkan semula setelah banyak pihak melanggar syarat kuaratin mereka di rumah.
Khairuddin telah menjelaskan mengenai jumlah ujian yang telah dilakukan tetapi belum menjelaskan dakwaan melanggar kuarantin wajib.
Laporan polis telah dibuat terhadapnya dan Kementerian Kesihatan juga sedang menyiasat perkara itu.
Setakat ini, tiada sebarang pendakwaam dikenakan terhadap Khairuddin.