Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mesej tular dakwa Covid-19 di Subang Jaya tidak benar
Diterbitkan:  Aug 22, 2020 10:26 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Polis menafikan mesej tular yang mengingatkan orang ramai supaya tidak menghampiri beberapa pusat membeli-belah di Subang Jaya, Selangor kerana wabak Covid-19.

"Ya, kami menerimanya (mesej yang viral) tetapi itu palsu. Itu tidak benar, ”kata jurucakap polis daerah Subang Jaya kepada New Straits Times semalam.

Jurucakap polis itu berkata, dakwaan bahawa kawasan berkenaan dilarang kepada orang ramai juga tidak benar.

Mesej yang beredar di media sosial mendakwa aplikasi MySejatera  menunjukkan lokasi-lokasi tersebut adalah kawasan panas Covid-19.

Terdapat juga pesanan di Twitter yang berbunyi: “Sahabat Subang yang dihormati, periksa hotspot aplikasi MySejahtera - elakkan kawasan Empire, Subang Parade, dan Mydin. Dua orang terkena wabak Covid ”.

Versi lain yang dilihat oleh Malaysiakini menyebut mengenai pusat membeli-belah yang sama di Subang Jaya dan mendakwa kes Covid-19 telah dilaporkan dalam jarak satu kilometer dari tempat berkenaan.

"Tolong elakkan kawasan ini ketika anda keluar," kata pesanan itu.

Sebagai rekod, aplikasi MySejahtera tidak memberikan lokasi tepat bagi kes Covid-19 atas sebab privasi perubatan.

Sebagai gantinya, ia memberitahu pengguna sama ada kes Covid-19 telah dilaporkan dalam satu kilometer dari lokasi yang telah dimasuki oleh pengguna.

Hasil pemeriksaan Malaysiakini mendapati carian di "Empire Shopping Gallery" dan "Subang Parade" - yang berdekatan antara satu sama lain - memberikan hasilnya: "Terdapat laporan kes Covid-19 dalam jarak 1km dari carian anda dalam 14 - 28 hari lalu. "

Pencarian di Mydin USJ juga turut memberikan hasil carian yang sama dengan mengatakan bahawa Covid-19 telah dikesan di sekitarnya dalam tempoh 14 hari lalu. Aplikasi ini tidak menyatakan berapa banyak kes yang dapat dikesan.

Dalam pada itu, carta yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Selangor menyatakan bahawa pada masa ini tidak ada kes Covid-19 yang aktif di daerah Petaling di mana ketiga-tiga pusat membeli-belah itu berada, yang menjadikannya "zon hijau".

Portal berita kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa ciri hotspot aplikasi MySejahtera telah disalahgunakan oleh netizen untuk "mengenakan" penjaja di Pulau Pinang dan bukannya untuk tujuan memberikan maklumat.

Ia mengatakan beberapa mesej tidak benar disebarkan yang mendakwa Covid-19 telah dikesan di sesebuah restoran di negeri itu, menyebabkan perniagaan mereka merosot.

"Khabar angin itu menjadi tular ketika penduduk Pulau Pinang menggunakan aplikasi hotspot MySejahtera yang mendedahkan adanya kes Covid-19 di kawasan sekitar Genting Cafe dan Mandarin Cafe," kata laporan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS