Salinan surat sokongan yang ditulis oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz yang dikatakan meminta anaknya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga, tular di media sosial semalam.
Surat berkenaan yang ditujukan kepada Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob bertarikh 5 Jun 2020, mengandungi nota sokongan Ismail kepada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mengatakan dia bersetuju dengan cadangan itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Ismail mengesahkan kesahihan surat berkenaan dan tulisan tangannya yang mengatakan "Saya setuju".
Anggota Parlimen Bera itu berkata dia memberikan sokongan kepada anak Ikmal Hisham, Ikmal Hazlan memandangkan pengalamannya dalam perniagaan dan politik.
"Ya, saya memberikan sokongan saya. Dia (Hazlan) adalah seorang peniaga, jadi pengalamannya bermanfaat. Dari segi politik, dia juga anggota exco Pemuda Umno," kata Ismail.
Bagaimanapun, ketika ditanya Malaysiakini apakah ini akan menimbulkan isu nepotisme memandangkan Hazlan merupakan anak timbalannya, Ismail mengakui kebimbangan berkenaan.
Menurut Ismail, inilah sebab dia hanya menyatakan sokongan tetapi tidak membuat langkah susulan mengenai pelantikan Hazlan.
"Ya (saya setuju ini mungkin nepotisme). Inilah sebabnya mengapa saya tidak melantiknya," kata Ismail.
Difahamkan, syarikat farmasi itu mempunyai beberapa kekosongan jawatan dalam lembaga pengarahnya berikutan persaraan tiga ahlinya baru-baru ini, sebelum mesyuarat agung tahunan syarikat berkenaan pada 20 Julai.
Syarikat itu kemudian melantik tiga anggota baru, seperti yang diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 3 Ogos.
Mereka adalah Azhar Ahmad, Najmil Faiz Mohamed Aris dan Zulkifli Jafar.
Malaysiakini telah menghubungi Ikmal Hisham untuk mendapatkan komennya mengenai perkara itu.
Untuk rekod, pemegang saham utama Pharmaniaga adalah Boustead Holdings.
LTAT memegang saham majoriti di Boustead dan juga sebahagian saham dalam Pharmaniaga.
Menurut profil LinkedIn yang dikatakan miliki Ikmal Hazlan, pengalaman kerjanya termasuk menjadi pengarah urusan pengedar kenderaan dan ketua Jawatankuasa Ekonomi dan Sosial Malaysia di Parlimen Belia Malaysia.
Dia juga disenaraikan memegang jawatan pengarah eksekutif di sebuah syarikat dan pengarah urusan sebuah syarikat pengedar kenderaan mewah.
Sementara itu, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) mengecam penerbitan surat sokongan tersebut.
Pengarahnya, Cynthia Gabriel memberitahu Malaysiakini bahawa tindakan tersebut merupakan penyalahgunaan kuasa dan meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan tegas.
"Sekiranya ia sah, kerajaan Perikatan Nasional dan terutamanya Perdana Menteri Muhyiddin ada banyak yang peru dijawab.
"Pertama, ini adalah salahguna kuasa yang jelas oleh timbalan menteri. Tidak seharusnya surat sokongan dikeluarkan jika ikrar perdana menteri untuk membasmi rasuah dipandang serius.
"Ini menghapuskan persaingan dan menafikan mereka yang tidak mempunyai hubungan politik peluang untuk berjaya.
"Muhyiddin mesti segera mengambil tindakan tegas," katanya ketika dihubungi.