Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Luyang lapor polis netizen dakwa ada klip video intim
Diterbitkan:  Aug 21, 2020 6:27 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe hari ini membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial yang mendakwa mempunyai klip video seksnya dengan teman wanitanya.

Dalam kenyataan hari ini, Phoong mengaitkan kejadian itu dengan pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan pada 26 September tanpa menyebut pihak tertentu.

"Awal pagi tadi, seorang netizen bernama Jordan Lim menyebarkan gambar saya bersama teman wanita di beberapa kumpulan Facebook, dan menyeru netizen berkongsi posting tersebut untuk mendapat kononnya 'klip video seks' kami.

"Saya berasa amat sedih melihat taktik politik yang dipermainkan oleh sesetengah pihak di Sabah masih begitu meluatkan. Perbuatan tersebut menyebabkan banyak belia menjauhi dan membenci politik," katanya di Facebook.

Adun Luyang dan ketua Pemuda DAP Sabah itu juga menyatakan kekesalannya kerana teman wanitanya turut diheret dalam "sengketa politik" dan terpaksa menanggung tekanan.

Phoong menambah bahawa dia sudah berjumpa dan mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang.

Laporan polis Phoong dibuat di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu.

"Pada pukul 11 pagi hari ini, ketika saya bekerja di pejabat saya di Luyang, saya melihat sebuah kiriman yang dimuat naik di Facebook oleh (seorang netizen) pengguna akaun Jordan Lim, bersama-sama dengan gambar saya dan teman wanita saya," kata Phoong dalam laporan polis.

Menurutnya, kiriman berkenaan turut disertakan dengan keterangan: "Berita panas! Baru dapat video seks mereka! Siapa mahu, mohon share dan comment PM, nanti saya hantar."

Phoong menggesa polis untuk mengambil tindakan terhadap netizen yang didakwanya telah memfitnah dia dan teman wanitanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji untuk mendapatkan komen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS