Paling Popular
Terkini

ULASAN | Dalam beberapa rencana sebelum ini, saya ada mengangkat pandangan tentang pimpinan muda agar mengambil alih gerakan politik yang baru, namun saya tidak menyangka hingga ada yang nak menubuhkan ‘parti anak muda’. Bagi saya ini keterlaluan dan ganjil.

Sekalipun ia tidak salah dari segi undang-undang mahupun amalan demokrasi, tetapi ia tidak realistik. 

Orang muda yang menyertai ‘parti anak muda’, apabila cukup umur kenalah keluar dari parti anak muda ini kerana mereka telah cukup tua untuk parti anak muda itu.

Ini akan menjadikan parti anak muda itu sebagai parti ‘main pondok-pondok’. Maka, idea menubuhkan parti anak muda itu adalah jauh menyimpang dari maksud pimpinan muda itu sendiri.

Jika kita semak sejarah perjuangan golongan muda sejak awal merdeka hingga selepas merdeka, kumpulan-kumpulan seperti Kaum Muda, Angkatan Pemuda Insaf (API), Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan lain-lain, membawa perjuangan mendasar, rentas watu dan rentas golongan, bukan semata-mata berpusing isu-isu yang menjadi makanan anak muda sahaja.

Tokoh-tokoh muda ketika zaman itu berhujah tentang perjuangan bangsa melawan kumpulan penjarah, perjuangan ekonomi melawan kemiskinan, perjuangan intelektual melawan sistem pembodohan, perjuangan rakyat untuk keadilan sosial yang mana semuanya bersifat dasar dan real.

Memang realiti dunia hari ini telah berubah, namun persoalan-persoalan dasar masih lagi releven.

Pemimpin muda adalah pejuang

Persoalan seputar dasar pendidikan dan perpaduan kita pun belum selesai, kita masih tidak memahami apakah benar sistem sekolah dua aliran ini masih releven atau tidak.

Kita masih tidak pasti apakah yang dikatakan sastera Malaysia itu berbahasa Melayu atau pelbagai bahasa. Kita tidak ada upaya untuk menyambung hubungan antara isu bahasa Melayu dengan ekonomi pasaran bebas.

Orang muda semakin ramai yang berpendidikan dan profesional, tetapi tahap intelektualiti mereka belum berupaya untuk mengubah lanskap politik zaman ini.

Anak muda yang berpendidikan aliran agama tidak dapat menyaingi pandangan mereka yang seangkatan dari aliran Inggeris dalam isu ekonomi sebagai contoh. Pandangan mereka sering sempit dan regresif.

Kumpulan muda ‘buble’ lain pula takut mengangkat persoalan bangsa kerana takut digelar ‘rasis’ oleh rakan-rakan mereka yang berlainan bangsa atau bimbang dianggap ‘kampung’.

Meminjam kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad, Melayu ini tidak akan boleh dipisahkan dengan Islam, Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam, tetapi orang Melayu bila mereka bekerja, mereka tidak ikut budaya Islam yang amanah, yang rajin dan bersungguh-sungguh serta ikhlas. 

Semuanya nak cepat dapat hasil, semua nak cepat dapat jawatan dan wang.

Sedarkah kita, non muslim yang baik akan suka bekerja dengan muslim yang baik, rajin dan amanah. Tetapi, muslim yang jahat tidak akan suka bekerja dengan non muslim yang baik dan amanah.

Pimpinan muda harus menyelesaikan persoalan ini. Kita bercakap tentang rasuah dan keadilan, tapi kita sendiri ‘sangkut’.

Pimpinan muda harus positif dan maju ke hadapan. Kalian bukan Young Turks, tetapi kalian adalah Pejuang!


MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS