Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gelang pink - Warga Perancis kuarantin di klinik kesihatan, jelas OCPD Langkawi
Diterbitkan:  Aug 20, 2020 8:18 PM
Dikemaskini: 4:21 PM

Seorang warga Perancis yang dilihat memakai gelang pink di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan dilaporkan dibenar untuk kuarantin kendiri di rumahnya di Langkawi telah dihantar ke pusat kuarantin.

Dalam suatu kenyataan, OCPD Langkawi Mohd Iqbal Ibrahim berkata lelaki itu dibawa ke Klinik Kesihatan Air Hangat untuk kuarantin.

Lelaki Perancis itu juga tidak dibenarkan menjalani kuarantin kendiri di hartanah sewaannya di Chenang, jelas Iqbal.

Awal hari ini,  polis bantuan telah menyedari kehadiran warganegara Perancis itu di lapangan terbang Langkawi yang melihat lelaki berusia 64 tahun itu memakai gelang merah jambu.

Terdahulu, Iqbal berkata lelaki itu dibenar kuarantin kendiri, namun memindanya dengan kenyataan terbaru ini.

Menurut beliau, perubahan itu atas arahan Kementerian Kesihatan.

"Siasatan mendapati subjek telah menaiki pesawat Qatar Airways dari Paris pada 19 Ogos 2020 ke Doha dan seterusnya terus ke KLIA menaiki pesawat yang sama. Subjek telah tiba ke KLIA pada 20 Ogos 2020.

"Di KLIA subjek telah disaring oleh pihak KKM KLIA dan keputusan saringan tersebut adalah negatif Covid-19,” kata OCPD Langkawi.

Siasatan polis juga mendapati Kementerian Kesihatan telah mengarahkan lelaki itu untuk menghadirkan diri di Pusat Persediaan dan Kecemasan Krisis Nasional (CPRC) Kedah pada 1 September.

Lelaki itu dikehendaki menjalani ujian sapuan Covid-19 kedua pada 2 September, kata Iqbal.

Beliau berkata pihak polis dan KKM Langkawi akan membuat pemantauan ke atas subjek "dari masa ke semasa untuk memastikan subjek mematuhi perintah kuarantin yang telah ditetapkan."

"Nasihat saya agar, mohon netizen jangan panik dan sentiasa mengamalkan SOP KKM sepanjang berada di Pulau Langkawi," kata Iqbal pada kenyataan terdahulu sebelum mengubahnya.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah untuk mendapatkan penjelasan mengenai hal ini.

Kerajaan telah mewajibkan setiap orang yang pulang dari luar negara bermula dari 24 Julai untuk menjalani kuatantin selama 14 hari di pusat-pusat yang ditentukan.

Ia dilaksanakan setelah sejumlah kes individu tidak mematuhi arahan kuarantin di rumah sebelum ini dan ada yang dilihat di tempat awam semasa tempoh kuarantin mereka.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS