Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa tiada kes penularan tempatan yang dicatatkan setakat tengah hari tadi, yang merupakan kali pertama sejak lebih sebulan lalu.
Kali terakhir Malaysia mencatatkan sifar penularan tempatan adalah pada 14 Julai lalu.
Bagaimanapun, lima kes import baru dikesan dan satu lagi kluster baru diisytiharkan di Sarawak.
Penambahan lima kes import baru menjadikan jumlah kes Covid-19 yang pernah dicatatkan di Malaysia adalah sebanyak 9,240 kes.
Mengambil kira 8,932 termasuk tujuh kes yang terbaru pulih, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 183 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Kenyataan media Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memaklumkan bahawa lima kes import baru melibatkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.
Kes-kes import tersebut melibatkan empat individu yang tiba dari Jepun (dikesan Sarawak) dan seorang individu yang tiba dari Bangladesh (dikesan di Selangor).
Terdapat tujuh kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.
KKM juga memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Sementara itu, satu kluster baru dikenal pasti di sebuah kapal di Bintulu, Sarawak yang dikenali sebagai Kluster Alam.
"Setakat ini, sebanyak empat kes positif telah dikesan di atas kapal tersebut.
"Kluster ini dikesan susulan saringan Covid-19 yang telah dijalankan ke atas lima orang kakitangan kapal tersebut yang mengalami gejala.
"Daripada jumlah tersebut, empat orang didapati positif Covid-19 dan seorang masih menunggu keputusan pengesahan makmal," kata kenyataan itu.
Noor Hisham berkata kapal berkenaan mempunyai sejarah perjalanan ke negara Jepun.
Bagaimanapun, tambahnya, Kluster Alam tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil di kapal.
"Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat sedang dijalankan.
"Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut," katanya.