Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu Sabah harap rakan sekutu bijaksana agih kerusi

Bersatu Sabah berharap parti sekutu akan menggunakan kebijaksanaan dalam menentukan agihan kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan bulan depan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor berkata ini kerana matlamat Bersatu adalah sama dengan rakan-rakan sekutu, iaitu memenangi PRN pada 26 Sept ini.

"Kita harap pemimpin parti-parti rakan menggunakan kebijaksanaan masing-masing untuk mengatur, mengagihkan kerusi yang akan ditandingi," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dan penerimaan borang keahlian Bersatu Kampung Baru-Baru, di Tuaran, Sabah hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Hajiji dilaporkan berkata Bersatu Sabah sedia bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN akan datang.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata Bersatu telah mengenal pasti senarai calonnya dengan hampir 60 peratus adalah muka baharu.

Namun katanya senarai itu belum dimuktamadkan dan menambah antara kriteria yang diambil kira ialah potensi untuk menang dan latar belakang pendidikan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata jumlah ahli Bersatu di Sabah dijangka meningkat kepada 200,000 orang menjelang penghujung tahun ini.

Sementara itu di PORT DICKSON, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata parti tersebut akan menggunakan logonya sendiri pada PRN Sabah sekalipun ada cadangan beberapa pihak supaya parti-parti Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menggunakan satu logo yang sama, seperti ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Mengenai pembahagian kerusi bagi PRN berkenaan, Anwar berkata rundingan masih lagi berlangsung dengan parti sekutu PH dan Warisan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis keluar Bersatu dan menyertai PKR oleh 600 ahli Bersatu Cawangan Telok Kemang diketuai Ketuanya Ibrahim Khan Amanulla Khan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS