Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Khairuddin Aman Razali boleh menyebabkan jangkitan Covid-19 kepada "beribu" orang lain dan menyebabkan kluster baru.
Wakil rakyat dari DAP itu berkata demikian dalam asakan terbarunya terhadap Khairuddin yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki 7 Julai lalu.
"Sekiranya beliau (Khairuddin) dijangkiti penyakit Covid-19 dari Turki, maka beliau berkemungkinan menyebarkan koronavirus ini kepada beribu-ribu orang sehingga mungkin wujudnya 'Kluster Khairuddin Takiri' di Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kok, yang pertama membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat juga mempersoalkan sama ada anggota keluarga Khairuddin dan anggota agensi kerajaan yang menyertai kunjungan ke Turki menjalani SOP yang ditetapkan.
"Saya difahamkan lawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ke Turki juga diiringi oleh ahli keluarga dan anggota agensi kerajaan.
"Apakah mereka juga menjalani kuarantin selama 14 hari mengikut SOP kerajaan?" soalnya.
Sejak isu itu hangat diperkatakan sehingga berita ini ditulis, Khairuddin belum mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan dakwaan terhadapnya.
Khairuddin semalam sekadar meminta orang ramai menunggu kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, media sebelum ini memetik sumber yang dekat dengan Khairuddin yang mendakwa ahli parlimen Kuala Nerus itu sudah disahkan negatif ketika pulang dari Turki.
Sumber itu juga menyifatkan Turki sebagai "negara zon hijau".
Bagaimanapun, ramai pihak terus menyatakan kritikan berhubung perkara itu memandangkan ketika kunjungan Khairuddin di Turki, negara itu mencatatkan lebih 18,000 kes aktif Covid-19.
Selain itu, terdapat juga kes apabila seseorang individu didapati negatif pada ujian pertama dan hanya dikesan negatif pada ujian kali kedua selepas menjalani kuarantin 14 hari.
Sementara itu, Kok dalam kenyataan medianya turut menyenaraikan program yang dihadiri Khairuddin selepas pulang dari Turki.
Jelas Kok, berdasarkan muat naik di Facebook, Khairuddin mula menghadiri majlis rasmi tiga hari selepas pulang ke tanah air.
"Program pertamanya ialah majlis perasmian kursus asas pembangunan usahawan coklat di Duyong Marina Resort di Terengganu pada 10 Julai 2020.
"Daripada 10 hingga 21 Julai, beliau menghadiri 12 program/mesyuarat yang mungkin melibatkan beberapa ribu orang," katanya.
Justeru, Kok berkata, kerajaan perlu menunjukkan ia tidak berat-sebelah dari segi penguatkuasaan dalam kes Covid-19.
Mengulas isu sama, dalam catatan di Facebook, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh membidas kenyataan Khairuddin yang meminta orang ramai menunggu penjelasan KKM.
"Cuba tengok dari isu pembukaan semula salun hingga minum air suam - menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) sekadar menunggu ketua pengarah kesihatan dan petugas barisan depan untuk membetulkan kesalahan mereka.
"Dan bila kena kritik, menteri-menteri ini kata akan patuh garis panduan dan peraturan Covid-19," katanya.