Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Mencari sumber pendapatan baharu kerajaan kian mencabar dalam mengharungi pandemik Covid-19 apabila kerajaan digesa untuk meningkatkan perbelanjaan berbanding sebelum ini untuk tujuan pengekalan pekerjaan,subsidi upah dan insentif kewangan.

Namun begitu, terdapat satu sumber sedia ada yang boleh digunakan iaitu wang tidak dituntut di bawah amanah Pendaftar Wang Tak Dituntut, Jabatan Akauntan Negara (AGD) di tingkat 42 Menara Maybank, Jalan Tun Perak.

Akauntan Negara juga merupakan Pendaftar Wang Tak Dituntut.

Sistem Maklumat Wang Tak Dituntut Kerajaan Elektronik (eGUMIS) telah diaktifkan pada tahun 2018 bagi membolehkan orang ramai memeriksa wang yang tidak dituntut.

Wang yang tidak dituntut merangkumi:

  • gaji, bonus, komisen dan pembayaran lain yang dibuat kepada pekerja

  • dividen dan keuntungan diisytiharkan untuk pengagihan

  • tuntutan insurans

  • simpanan tetap matang dan

  • baki kredit simpanan tidak aktif

Pada tahun 2019, terdapat kira-kira hampir RM9 bilion wang yang tidak dituntut.

Sebagai perbandingan, jumlah itu menghampiri suntikan langsung Penjana (Rancangan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek) sebanyak RM10 bilion.

Ia juga merupakan satu perlima daripada jumlah keseluruhan suntikan kumulatif, iaitu RM45 bilion.

Bahkan, Dana Kontingensi Nasional di bawah Artikel 11(3) Akta Prosedur Kewangan 1957 di mana Menteri Kewangan diberi kuasa untuk membuat pendahuluan perbelanjaan masih tidak mencukupi.

Belanjawan 2020 memperuntukkan hanya RM2 bilion kepada Dana Kontingensi Nasional.

Untuk membuka sumber pendapatan yang berpotensi ini, Akta Wang Tak Dituntut (1965) perlu dipinda dan diganti dengan rang undang-undang baharu.

Ini bagi membolehkan Akauntan-Negara merangkap Pendaftar Wang Tak Dituntut memindahkan wang yang tidak dituntut kepada dana kerajaan secara sah.

Tarikh luput

Selain itu, ketiadaan tarikh luput juga merupakan halangan undang-undang yang perlu dimansuhkan bagi memudahkan proses pemindahan wang.

Namun demikian, sememangnya akan ada bantahan mengenai tindakan perampasan sebegini yang dianggap bercanggah dengan perlembagaan dan menceroboh hak asasi manusia serta berbentuk “pencurian”.

Hakikatnya, wang yang akan dipindahkan tetap tidak dituntut dan terbiar.

Di bawah Akta Wang Tak Dituntut (1965), wang ini berada di bawah jagaan kerajaan melalui penjawat Pendaftar Wang Tak Dituntut, di mana kerajaan merupakan pemegang amanah, bukannya badan swasta.

Oleh itu, berdasarkan prinsip common law, kerajaan berhak secara sah mengguna atau mengurus wang yang tidak dituntut dengan apa cara sekalipun, asalkan dianggap sesuai dan tidak bertentangan dengan perlembagaan, kepentingan awam atau hal-ehwal moral.

Ini adalah wajar dengan proses pindaan yang tidak boleh dilaksanakan dalam bentuk perintah menteri iaitu pembuatan undang-undang oleh Eksekutif di bawah Akta induk – Akta Wang Tak Dituntut (1965).

Pindaan termaktub dalam rang undang-undang (RUU) baharu akan dibahaskan di parlimen dan tertakluk kepada persetujuan Parlimen.

Sebaiknya, RUU ini harus merujuk kepada RUU Covid-19 (Tindakan Sementara) yang akan datang sebagai sumber rujukan bagi memberikan sokongan tambahan. Ini juga bermaksud bahawa Akta Wang Tak Dituntut akan ditetapkan semula setelah jumlah tertunggak selesai.

Oleh itu, keadaan akan kembali normal di bawah peruntukan Akta Wang Tak Dituntut yang sedia ada sekarang.

Malah, penggunakan wang yang tidak dituntut untuk tujuan sosial sebagai "stop-gap" atau tindakan darurat secara sementara, bukanlah hanya cadangan dasar angan-angan (tidak boleh dicapai).

Selagi semuanya dilakukan secara telus, bertanggungjawab, demokratik, dan digunakan untuk merangsang ekonomi, adalah wajar untuk orang ramai tidak mempertikaikanya.

Dalam hal ini, wang tidak dituntut harus digunakan untuk memperluas penerapan Program Subsidi Gaji (WSP) dengan mensasarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Jika tidak, wang tidak dituntut boleh digunakan untuk menyasarkan isi rumah terutama B40 dengan memberikan baucar sebagai sebahagian subsidi untuk digunakan di lokasi kedai runcit terpilih untuk barang-barang keperluan termasuk peralatan pelindung diri (PPE) seperti topeng muka dan juga sanitiser yang amnya bukan murah.

Akhir kata, memanfaatkan wang tidak dituntut untuk digunakan dengan baik secara sementara menyumbang kepada dana kerajaan kerana setiap sen itu bernilai.


JASON LOH SEONG WEI merupakan ketua bahagian sosial, perundangan dan hak asasi di EMIR Research, sebuah badan pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS