ULASAN | Dunia digemparkan dengan munculnya novel coronavirus atau dikenali secara ringkasnya Covid-19 pada akhir 2019 di Wuhan, Negara China.
Novel Coronavirus berbeza dengan coronavirus seperti Severe Acute Respiratory Syndrome (Sars) dan Middle East Respiratory Syndrome (Mers).
Bagaimanapun semua virus ini menyebabkan jangkitan saluran pernafasan sehingga berpotensi menyebabkan kematian khususnya golongan tua, individu yang menghadapi masalah kesihatan serta rendah sistem imun.
Hari demi hari, angka mereka yang disahkan menghidapi novel coronavirus meningkat.
Ia telah merebak pantas ke ratusan buah negara di dunia, bahkan melibatkan ratusan ribu pesakit dan menyebabkan ribuan kematian.
Apa yang lebih menggusarkan lagi, Malaysia dikatakan merupakan Negara yang tertinggi di Asia Tenggara yang merekodkan bilangan individu yang positif novel coronavirus.
Perintah kawalan pergerakan telah diumumkan oleh perdana menteri bermula hari Rabu 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 bagi mengekang penularan wabak secara mendadak dan kian mencecah 673 orang termasuk dua kes kematian.
Namun begitu, terdapat pelbagai isu dan polemik yang berlaku rentetan wabak ini.
Penyakit dan wabak
Kita jarang sekali menganggap bahawa setiap penyakit yang ditimpa ke atas diri merupakan suatu kemuliaan.
Apatah lagi merenunginya sebagai suatu bentuk kecintaan dan rahmat daripada Allah SWT buat hamba-Nya.
Setiap ujian dan dugaan yang diturunkan oleh Allah SWT merupakan simbol tanda kasih sayang-Nya.
Ini sebagaimana dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian untuk mereka.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Sebagai seorang Muslim, kita wajib meyakini bahawa setiap penyakit mahupun wabak datang dari Allah SWT.
Tiada satu pun dalam dunia ini dan dalam kehidupan yang keluar dari kerangka ciptaan, takdir, qada dan qadar Allah SWT.
Ini selaras dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” (al-Syua’ra: 80).
Dalam ayat lain Allah SWT turut berfirman yang bermaksud:
“Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah.” (al-Taghabun: 11).
Jika ditelusuri sejarah peradaban manusia, tiada siapa pun yang terlepas daripada menghidapi apa-apa penyakit, bahkan para rasul jauh berat diuji akan kesakitan seperti Nabi Ayyub AS, bahkan Rasulullah SAW sendiri dan lain-lain.
Islam mengajar umatnya supaya sentiasa berada dalam keadaan yang bersederhana, tidak ekstrem ke kiri dan tidak pula melampau ke kanan.
Wasatiyyah antara terlalu ketat dan terlampau longgar ataupun ringan.
Dalam hal yang berkaitan novel coronavirus ini, meskipun wabak tersebut datang dari Allah SWT, Dia juga menuntut hamba-Nya untuk mencari solusi dari segi pencegahan dan juga rawatan.
Novel coronavirus yang mampu merebak dengan pantas turut mendesak setiap individu mengambil tindakan pencegahan yang awal.
Plan efektif ini bertepatan dengan perbuatan baginda Nabi SAW ketika berhadapan dengan wabak taun.
Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi ke arahnya. Jika berlaku di sesuatu tempat yang kamu sedang berada di situ, jangan kamu keluar darinya.” (Hadith Riwayat al-Bukari dan Muslim)
Pencegahan terhadap wabak novel coronavirus boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan seperti larangan berkumpul dalam jumlah yang ramai, saranan sentiasa berada di rumah, penjaga kebersihan diri dan sebagainya.
Pencegahan ini juga merupakan suatu tuntutan dalam agama demi kemaslahatan umum.
Peranan individu
Kepatuhan kepada pihak berautoriti
Masyarakat terlalu ofensif dan terkehadapan dalam setiap perkara. Sisi baiknya adalah masyarakat sentiasa cakna dan ambil peduli.
Sudut kurangnya adalah muncul sahaja apa-apa rumus, disebarkan tanpa membuat penelitian terlebih dahulu.
Setakat hari ini banyak berita palsu yang dikesan berkaitan wabak novel coronavirus. Maka dalam hal ini, setiap individu perlu mendapatkan info dan maklumat yang tepat daripada pelbagai pihak yang terlibat.
Segala perkongsian disiarkan melalui pelbagai medium seperti berita, akhbar, media sosial dan lain-lain.
Sebagai contoh, setiap individu perlu memahami falsafah di sebalik wabak ini terutama bagaimana penularannya boleh berlaku.
Kepatuhan terhadap Majlis Keselamatan Negara, pihak polis, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam dapat mengurangkan penularan wabak menjadi semakin meluas.
Apa yang paling penting sekali adalah kepatuhan kepada pihak kerajaan berbanding kenyataan-kenyataan individu.
Ini bertepatan dengan suatu kaedah yang bermaksud: “Keputusan hakim iaitu pemerintah mengangkat khilaf”.
Kerajaan merupakan pihak yang bertanggungjawab mengangkat kemaslahatan masyarakat secara keseluruhannya.
Muhasabah dan mujahadah
Setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan seharian mengandungi hikmah tersendiri, disembunyikan oleh Allah SWT.
Sebagai seorang Muslim, kita disarankan untuk tunduk mencari rahsia yang hendak disampaikan oleh Pencipta kepada hamba-Nya.
Ujian Allah SWT dalam bentuk musibah, kesakitan, kesedihan, kegelisahan, sehingga duri yang menyucuk sekalipun diturunkan tidak lain untuk menguji keimanan seseorang.
Ujian bagi melihat sama ada hamba-Nya mengeluh, menyalahkan atau mencari penyelesaian. Sifat sabar dan reda dengan segala apa dugaan akan diberikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT serta dihapuskan dosa-dosa.
Ini kerana lazimnya mereka yang menderita dengan ujian akan lebih sentiasa mengingati dan menyebut nama-nama Allah SWT dengan bersungguh-sungguh berbanding individu dalam keadaan tidak diduga.
Di sinilah seorang hamba akan berada dekat dengan Tuhannya. Di sinilah doa akan diangkat tanpa hijab.
Iman bukan sahaja apa yang dibisikkan di dalam hati, bahkan termasuk juga setiap perbuatan seseorang.
Oleh yang demikian, setiap ujian seharusnya dihadapi dengan penuh kerendahan hati tanpa menyalahkan mana-mana pihak di samping terus menerus giat bermujahadah melakukan amal kebajikan.
Perbanyakkan bertaubat dan beristighfar supaya diberikan keberkatan serta kelapangan dada dalam menghadapi apa jua keadaan mahupun situasi.
Teruskan berdoa supaya ujian berupa penyakit berjangkit atau wabak ini diangkat dengan segera serta diberikan kekuatan berterusan ke dalam jiwa setiap individu.
Hulurkan bantuan berdasarkan kemampuan bukan mengeruhkan keadaan sehingga menambah beban.
Panik dan resah terhadap apa yang berlaku adalah perkara yang normal sebagai seorang manusia.
Namun, ia perlu diurus dengan baik supaya ia tidak menimbukan kerumitan dalam diri sendiri bahkan mengeruhkan keadaan di sekeliling.
Harapan
Penyakit, wabak dan segala ujian mengajar banyak perkara. Mendidik diri mencari solusi dan mengawal emosi. Utamakan komuniti bukan kepentingan peribadi.
Semoga novel coronavirus ini berlalu dengan segera. Tanah suci yang dimuliakan dapat dikunjung ziarah oleh pencintanya, tempat sujud dapat dipenuhi setiap masa.
Oleh itu, mari rapatkan saf, sebarkan keamanan, tautkan hati-hati sesama kita.
Moga Allah SWT berkati diri, sampaikan kita pada Ramadan supaya madrasah tarbiah menjadi lebih baik berbanding tahun yang lepas.
DR MOHD SYUKRI ZAINAL ABIDIN adalah pensyarah kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan juga setiausaha, Persatuan Psikospiritual Islam Malaysia. Beliau boleh dihubungi di [email protected]
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.