Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah benar permohonan anak syarikat PSI keluarkan AS$1.357 juta
Diterbitkan:  Aug 19, 2020 6:49 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Jumlah US$1.357 juta (RM5.673 juta) daripada US$340.26 juta (RM1.422 bilion) disimpan di sebuah firma guaman di London kini boleh diberikan kepada PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ).

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan syarikat itu meminda perintah interm yang diperoleh kerajaan yang melarang syarikat itu mengalihkan wang tersebut kepada entiti lain.

Wang itu dikatakan mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan telah disimpan dalam akaun eskrow firma guaman Clyde & Co LLP di United Kingdom (UK).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas peguam PSOS-VZ, Alex Tan, memaklumkan sebuah mahkamah di London membenarkan peruntukan dibuat berhubung bayaran perbelanjaan perniagaan dan yuran guaman.

“Selain itu, selepas mempertimbangkan pendirian diambil oleh pendakwaan untuk tidak membantah permohonan itu, saya membenarkan permintaan itu,” katanya.

PSOS-VZ menuntut untuk meminda terma perintah interim yang diperoleh kerajaan daripada mahkamah pada 16 Julai lalu supaya sebahagian daripada wang itu dilepaskan untuk pembayaran kos perniagaan dan guaman.

Terdahulu, Tan memberitahu mahkamah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi UK, Willian Spencer Philip Trower pada 12 Ogos lalu membenarkan jumlah wang dituntut Kerman & Co jika perintah pembekuan oleh Mohd Nazlan dipinda sehingga pendengaran dan penyelesaian permohonan kerajaan untuk menyita wang US$340.26 juta.

Permohonan tersebut akan didengar pada 28 Ogos ini.

Peguam kanan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili Tarek Obaid, pengarah dan pengasas bersama PetroSaudi International Ltd (PSI), turut hadir pada prosiding hari ini.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Nazlan membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan satu perintah interim bagi menghalang PSI dan Tarek daripada mengalih lebih US$340 juta kepada entiti lain sehingga permohonan utama selesai pada 28 Ogos ini.

Kerajaan telah memfailkan permohonan pada 10 Julai meminta perintah larangan bagi menghalang sebarang urus niaga membabitkan wang berjumlah US$340, 258,246.87 milik PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ yang disimpan di Clyde & Co LLP.

Kerajaan juga meminta wang yang tidak dinyatakan jumlahnya yang disimpan di bawah nama sebuah akaun perantaraan, Temple Fiduciary Services Limited, di Bank Barclays di UK.

Wang terbabit adalah kepunyaan PSOS-VZ, yang dimiliki sepenuhnya oleh Tarek melalui PSI.

Permohonan itu, yang difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), telah menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co dan Temple Fiduciary sebagai responden.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS