Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dadah: Pembantu kedai terlepas tali gantung
Diterbitkan:  Aug 19, 2020 6:25 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Seorang pembantu kedai runcit terlepas hukuman gantung sampai mati selepas ditawarkan pertuduhan pindaan kerana memiliki 103.22 gram dadah jenis methamphetamine oleh Mahkamah Tinggi, di Kuala Terengganu, hari ini.

Tertuduh Wan Ahmad Zamil Hakim Wan Zulkifli, 26, pada awalnya didakwa atas tuduhan mengedar dadah di bawah Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ABD), namun akhirnya pihak pendakwaan memutuskan untuk mendakwanya mengikut Seksyen 39A(2)(r) ADB kerana memiliki dadah.

Hakim Abd Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 19 Jun 2019.

Tertuduh didakwa memiliki dadah tersebut di sebuah rumah di Jalan Kubang Buyong, di sini, pada jam 12 tengah hari, pada hari tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam Mazlan Md Zain.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS