Sejumlah 16 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan 12 daripadanya merupakan penularan dalam negara dan bakinya adalah kes import, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Daripada penularan dalam negara, lebih separuh iaitu tujuh kes dikesan di Kedah, iaitu empat daripada kluster Tawar dan tiga daripada kluster Sawa.
Empat lagi kes dikesan di Pulau Pinang, dan satu di Johor.
Untuk kes import pula, tiga kes daripada Bangladesh dan satu kes daripada Filipinan. Kesemua pesakit adalah warga asing.
Dalam pada itu, seramai 23 lagi pesakit telah pulih sepenuhnya hari ini, menjadikan jumlah kes pulih ialah 8,925 kes, iaitu 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Terdapat 185 kes aktif setakat ini, dengan tujuh daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada kematian dilaporkan hari ini.
Berdasarkan infografik yang disediakan Kementerian Kesihatan, satu kes daripada kluster Tawar melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Sungai Petani (kes 9,227), yang sekelas dengan anak (kes 9,197) pekerja kesihatan (kes 9,146) yang kedua-duanya didapati positif Covid-19 baru-baru ini.
Kluster tersebut turut melibatkan sebuah sekolah berbeza di Kulim yang menyebabkan sekolah itu ditutup buat sementara waktu.
Menurut Noor Hisham, pengesanan kontak bagi kedua-dua kluster Tawar dan Sala masih diteruskan, dengan 1,910 orang berkaitan kluster Tawar dan 668 orang berkaitan kluster Sala telah disaring setakat ini.
Sejumlah 55 kes positif telah dikenal pasti dalam kluster Tawar dan 11 kes untuk kluster Sala.
Daripada 1,910 ujian saringan, sebanyak 514 ujian masih menungg keputusan.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.