Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Slim bakal dapat internet 4G, kata menteri

PRK SLIM | Penduduk di kawasan DUN Slim bakal menikmati liputan internet 4G selewat-lewatnya tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Dia berkata dua menara telekomunikasi yang dibina di Changkat Sulaiman dan Changkat Serunai dijangka siap hujung tahun ini manakala lima lagi dalam perancangan di Felda Besout disasar siap pada suku kedua tahun depan.

"Selain itu, 25 alat pemancar di menara telekomunikasi sedang dinaik taraf. Kita harap dengan penambahan menara telekomunikasi baru dan naik taraf alat pemancar, akan memberi liputan internet yang lebih baik di Slim," katanya.

Saifuddin bercakap kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim di Tanjung Malim, hari ini.

Turut hadir calon BN bagi PRK itu, Mohd Zaidi Aziz.

Mengenai Pusat Internet yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Saifuddin berkata terdapat tujuh pusat sedang beroperasi di DUN Slim dengan lima daripadanya di Felda Besout 1 hingga Felda Besout 5, manakala masing-masing satu di Trolak Utara serta Trolak Selatan.

"Kita sangat mengalakkan orang ramai supaya memanfaatkan Pusat Internet sedia ada untuk e-dagang dan saya yakin penduduk tempatan mampu menggunakan kandungan yang disediakan berkaitan e-dagang, e-rezeki dan sebagainya.

"Pengurus di setiap Pusat Internet sentiasa ada aktiviti bagi setiap komuniti, mereka boleh berunding kalau hendak ada aktiviti tambahan, kerajaan negeri pun beri sokongan," katanya.

Katanya, dia telah mengarahkan SKMM untuk menilai semula aset termasuk komputer di 1,100 Pusat Internet seluruh negara supaya ia sesuai digunakan selari dengan perkembangan semasa.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS