Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Kelantan menyifatkan penemuan tujuh fosil yang dipercayai tapak kaki dinosaur dianggarkan berusia 145,000 tahun hingga 66 juta tahun di Bukit Panau, Tanah Merah, sebagai satu penemuan besar.

Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenai perkara itu daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Kita tengok dulu macam mana sebab kita belum terima laporan rasmi, dan kena tengok laporan dulu.

"Jika ada potensi yang baik mungkin boleh dijadikan satu destinasi pelancongan sebab ini satu penemuan yang besar.

"Sebelum ini kita ingat dinosaur ada di luar Malaysia sahaja, ini kali pertama (dilaporkan) ada di Kelantan," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan penemuan fosil tersebut dan perancangan kerajaan Kelantan terhadap hasil penemuan itu.

Terdahulu media tempatan melaporkan penemuan hasil penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB) UMK yang menemui kesan tapak kaki dipercayai spesies Sauropod.

itu membabitkan tujuh tapak kaki fosil spesies Sauropod berukuran purata 72 sentimeter (sm) panjang dan lebar dengan purata 66sm yang tercetak di atas Batu Pasir Kuarsa dari Formasi Panau seluas 60 meter persegi.

Ekplorasi itu diketuai Pensyarah FSB UMK, Arham Muchtar Achmad Bahar dan Prof Surono Martosuwito serta disertai Prof Udi Hartono serta Mohd Syakir Sulaiman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS