Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco Selangor: Lebih 100 kilang plastik haram dikenakan tindakan sejak 2018

WAWANCARA | Pembuangan sisa plastik merupakan salah satu masalah terhadap alam sekitar yang terus berlaku di Malaysia.

Aktivis mendakwa bahawa sama ada dihasilkan atau diimport secara tempatan, sejumlah besar sisa plastik di Malaysia ditangani oleh pengusaha tidak berlesen yang biasanya tidak mempunyai kemudahan pemprosesan yang betul.

Sampah dibuang, dibakar atau ditanam secara rawak di tempat pembuangan sampah. Ini mengakibatkan pencemaran udara, darat dan air, serta masalah kesihatan yang berkaitan kepada komuniti yang tinggal berhampiran lokasi.

Ini adalah cabaran kepada exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap portfolio kerajaan tempatan.

Ng Sze Han adalah exco kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab terhadap portfolio kerajaan tempatan, pengangkutan awam dan pembangunan kampung baru, dan dia mengakui bahawa ini adalah masalah yang berterusan.

Namun, dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, dia menegaskan pihaknya berjaya bertindak menutup sebahagian besar kilang plastik haram di negeri itu.

"Saya mengambil alih tanggungjawab ini dua tahun yang lalu, dan setelah itu, saya menerima banyak aduan dari aktivis dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan).

"Sebagai contoh, ada banyak aduan mengenai mewujudan kilang memproses plastik secara haram di Jenjarom," katanya.

Ng berkata ketika masih baru memegang portfolio itu, dia mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan masalah tersebut.

"Kami menghabiskan beberapa bulan bagi membincangkan perkara itu dengan pelbagai pihak berkuasa. Saya juga turun ke lapangan, kilang plastik sah dan haram untuk memahami keadaannya.

"Selepas itu, kami mengambil tindakan penguatkuasaan. Kami bermula di Jenjarom yang mana kami menutup beberapa kilang dalam masa enam bulan.

"Susulan itu, kami memperluas penguatkuasaan ke kawasan-kawasan daerah lain, (yang mana ada aduan) termasuk Klang dan Ulu Selangor," kata Ng, yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Kinrara.

 

Malah, kata Ng, pihaknya mengambil tindakan serius terhadap 113 kilang di Selangor dari 2018 hingga 2020 termasuk menutup 37 buah kilang.

Tambah Ng, sebanyak 47 kilang lain dipotong bekalan air dan elektrik, sementara 29 yang lain pada mulanya ditutup, tetapi kemudian, selepas memenuhi kehendak pihak berkuasa mereka mendapatkan semula lesen.

"Terdapat aduan dari seluruh negeri, tetapi beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) ini menghadapi masalah yang lebih serius - misalnya, Jenjarom terletak berhampiran Pelabuhan Klang, sumber sampah plastik yang diimport.

"Saya percaya kami menutup sebahagian besar kilang plastik haram. Saya tidak mengatakan semuanya, kerana memandangkan mereka beroperasi secara haram, kilang itu ditutup dan dibuka dengan mudah.

"Masalah dengan jenis kilang ini adalah mereka tidak sukar didirikan. Ini kerana operasi yang sangat rendah dan sederhana sehingga mereka dapat menutup di satu lokasi dan membuka operasi lain dengan sangat mudah, kerana mereka hanya memerlukan pembakar (mesin pembakar)," kata Ng, sambil menambah bahawa banyak kilang dikendalikan oleh warga asing dari China.

Walaupun berhasil dengan beberapa kejayaan, Ng tidak menafikan bahawa masih ada beberapa kilang yang masih beroperasi.

"Masih ada ruang perlu diperbaiki, tetapi jika kita bandingkan dengan situasi dua tahun yang lalu, terdapat perubahan yang ketara.

"Itulah sebabnya saya menggesa orang ramai untuk membuat laporan sekiranya mereka masih melihat kilang seperti ini beroperasi, dan kami akan mengambil tindakan.

"Mereka dapat membuat aduan melalui laman web atau aplikasi dewan tempatan (seperti ACTnow) atau melalui panggilan telefon," tambah Ng.

Pindah ke negeri lain

Susulan penutupan sebilangan kilang haram yang ditutup di Selangor, kilang-kilang berkenaan dikatakan berpindah ke negeri lain.

"Saya juga menerima aduan dari negeri lain. Saya mendapat panggilan telefon dari rakan sejawat saya di Johor, Negeri Sembilan dan Kedah," kata Ng.

"Pada mulanya, Selangor menjadi mangsa operasi jenis ini, hanya kerana lokasi dan (jarak ke) Pelabuhan Klang. Dan dari segi logistik, sangat mudah bagi mereka untuk mendirikan kilang di Jenjarom (yang terletak kira-kira 20km).

"Jadi kedua-dua kawasan ini adalah kawasan pertama yang terkena dampak dan kemudian (setelah penguatkuasaan dilakukan) mereka bergerak lebih jauh. Mereka berpindah ke Ulu Selangor dan kemudian ke negeri lain,” kata Ng.

Dia juga mendakwa berlaku juga penyeludupan melalui Pelabuhan Klang menjadi punca masalah sampah plastik yang diimport, yang memerlukan perhatian dari pelbagai agensi yang berkaitan.

"Kerana terdapat dalam muatan besar, kapal nelayan biasa tidak akan dapat menyeludup (sampah). Itulah sebabnya kami memerlukan pihak berkuasa untuk membantu kami.

"Bagaimana sampah jenis ini boleh masuk ke Malaysia melalui Selangor? Melalui Selangor di Pelabuhan Klang? Bagaimana mereka boleh memasuki Malaysia? Ia tidak sepatutnya berlaku sejak dulu," katanya.

Ng mengatakan bahawa ada had tertentu sekali gus secara langsung pihaknya tidak dapat menjalankan aktiviti penguatkuasaan.

"Kadang kala, tangan kita diikat. Sebagai kerajaan negeri atau tempatan, apa yang dapat kita lakukan adalah menutup kilang. Kami tidak dapat menahan atau menangkap orang asing, dan kami memerlukan Jabatan Imigresen atau polis untuk masuk ke sana," jelasnya.

[Baca laporan penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS