Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kluster Tawar tak tergolong dalam kategori ‘perebak utama’

KORONAVIRUS | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan Kluster Tawar tidak tergolong dalam kategori ‘perebak utama’ (super spreader).

Ketua pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini hanya Kluster Ulu Tiram di Johor dan Kluster Sivagangga yang dikenalpasti dalam golongan berkenaan.

“Kita lihat (Kluster) Tawar ada mutasi (menjadi perebak utama) atau tidak.

“Setakat ini yang kita kenal pasti cuma (Kluster) Ulu Tiram, di mana membabitkan bukan warganegara dari Filipina dan PUI (individu di bawah pengawasan) Sivagangga,” pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Untuk rekod, Kluster Tawar di Kedah merekodkan sebanyak 47 kes positif Covid-19 setakat hari ini.

Tambah Noor Hisham, tindakan serta pembendungan kesihatan awam di kawasan Kluster Tawar dilihat berjaya mengawal penyebaran virus berkenaan secara berkesan.

"KKM juga melaksanakan 6,035 ujian dalam kelompok kawasan tersebut (Kluster Tawar) dan kenal pasti 46 kes positif yang diasingkan di hospital, sementara kes negatif tetapi terdedah (kepada kontak) juga dikurantin di hospital.

"Kemungkinan jangkitan secara pantas bukan sahaja kerana wujudnya mutasi tetapi sikap sambil lewa dan kecuaian rakyat mematuhi prosedur operasi standard yang diwajibkan," katanya lagi.

Pada 11 Ogos lalu, Kluster Tawar mula dikesan apabila kes pertama (kes indeks ke-9,113) merupakan seorang lelaki warga tempatan dikesan positif setelah mengalami sakit dada serta gejala demam.

Dia yang juga seorang peniaga mempunyai sejarah menghadiri upacara kematian ahli keluarga yang berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu yang dihadiri oleh kira-kira 30 orang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS