Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRN SABAH | Lima Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lepas susulan pengisytiharan sokongan mereka terhadap Musa Aman pada akhir Julai lalu.

Bagaimanapun, Adun Kuamut Masiung Banah menafikan dia akan menyertai Bersatu yang diketuai Muhyiddin bagi membolehkannya bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah atas tiket parti itu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Masiung mendedahkan empat lagi wakil rakyat, iaitu Musbah Jamli (Tempasuk), Bolkiah Ismail (Pitas), Saddi Abdu Rahman (Sukau) dan Limus Jury (Kuala Penyu), turut hadir dalam pertemuan itu.

Masiung Banah 

Masiung berkata pertemuan itu diadakan pada Rabu lepas di pejabat perdana menteri di bangunan parlimen.

Masiung dan Limus merupakan Adun Upko, manakala Musbah, Bolkiah dan Saddi adalah Adun Umno yang menyertai Warisan sebelum beralih menyokong Musa.

‘Bincang masalah kawasan, bukan masuk Bersatu’

Masiung berkata pertemuan itu sekadar menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin dan membincangkan hal ehwal Sabah dan kawasan masing-masing.

“Memang ada tular di media sosial kononnya kami berjumpa Tan Sri (Muhyiddin) untuk masuk Bersatu, tetapi soal itu tidak timbul di pihak saya.

“Saya lebih kepada perbincangan pembangunan di Kuamut,” jelasnya.

Muhyiddin dan Shafie ketika era kerajaan PH

Apabila ditanya sama isu kemasukan ke dalam Bersatu dibincangkan, Masiung berkata, “Saya tiada.”

“Nak (masuk) mana-mana parti pun kami belum buat keputusan,” katanya.

Namun begitu, Masiung enggan mengulas berkaitan kemungkinan Adun lain menyertai Bersatu.

Bolkiah ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen.

Malaysiakini juga telah menghubungi pejabat Muhyiddin dan Adun-adun yang lain dan masih menunggu respon mereka.

Belum fikir parti mana

Sementara itu, Masiung berkata sudah ada beberapa parti tempatan di Sabah menawarkan ruang untuk bertanding kepadanya.

“Tetapi sehingga sekarang kami belum terfikir untuk masuk ke mana-mana parti apatah lagi pasal nak bertanding atau tidak kerana hal ini masih di peringkat mahkamah.

“Kami tidak tahu apa keputusan di mahkamah pada Jumaat ini...Kami tunggu keputusan mahkamah dulu,” ulasnya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 21 Ogos sebagai tarikh untuk membuat keputusan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai boleh diadili.

DUN Sabah

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh pilihan raya negeri.

Sementara itu, Masiung berkata statusnya masih sebagai Adun bebas yang menyokong PN bawah pimpinan Muhyiddin.

Dia turut menyatakan hasrat bertanding atas tiket PN dan berkata akan menyokong mana-mana parti yang berpihak kepada gabungan tidak rasmi itu.

“Kalau diizinkan bertanding, kami juga akan menyokong mana-mana parti yang menyokong PN di bawah pimpinan PM,” katanya.

Masalah pusat-negeri tak sehaluan

Masiung berkata penting bagi kerajaan negeri bersehaluan dengan persekutuan kerana banyak projek pembangunan tidak mampu dilaksanakan jika hanya bergantung kepada keupayaan kewangan negeri.

Sebagai contoh, dia berkata, Kuamut merupakan kerusi DUN kedua terbesar di Malaysia namun kini masih menghadapi masalah bekalan air dan elektrik disebabkan kedudukan geografi yang sangat terpencil.

“Jika kerajaan negeri tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan, adalah amat sukar bagi kami untuk membangunkan kawasan ini.

“Peruntukan hanya boleh dibelanjakan sekiranya wujud hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan.

“Kami sebenarnya tiada masalah besar dengan Warisan dan ketua menteri (Shafie Apdal),” hurainya.

Tambahnya, setelah PN mengambil alih kuasa, projek-projek besar di kawasannya telah tergendala.

“Menurut makluman, memang agak sukar untuk kerajaan persekutuan meneruskan lagi projek ini selagi kerajaan negeri tidak bekerjasama dengan persekutuan.

“Kami tidak mahu kawasan kami dihukum hanya kerana pertukaran kerajaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS