Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker kata tiada kuasa betulkan hantaran FB Najib
Diterbitkan:  Aug 18, 2020 5:03 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

PARLIMEN | Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Harun berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan mengenai hantaran Facebook yang dibuat oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib (BN-Pekan) semalam mendakwa pembangkang telah berusaha menggagalkan "belanjawan Prihatin" kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi dari krisis Covid-19.

Bagaimanapun, pengundian secara blok semalam adalah untuk rang undang-undang (RUU) menyusun semula Belanjawan 2020 bagi memudahkan pembentukan kementerian baru yang ditubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Rang undang-undang mengenai bantuan kerajaan Covid-19 hanya dibahaskan pada hari ini.

Ahli Parlimen PH menuduh Najib memperdaya orang ramai mengenai isu tersebut.

Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkata hal ini menunjukkan bekas perdana menteri tidak tahu RUU apa yang beliau undi semalam.

Sementara itu, Hannnah Yeoh (PH-Segambut), yang menjadi sasaran Najib kelmarin, menuntut speaker memberikan keputusan terhadap Najib berhubung kenyataan yang mengelirukan.

Azhar berkata beliau belum membaca apa yang ditulis Najib, tetapi peraturan mesyuarat Dewan Rakyat tidak memberinya kuasa atas perkara yang berlaku di luar parlimen.

"Apa kuasa saya untuk perbetulkan," soal beliau.

Hanipa Maidin (PH-Sepang) membantah hal ini, dan menegaskan speaker memang memiliki kuasa yang diperlukan itu. Azhar meminta ahli parlimen Amanah itu menulis surat kepadanya untuk membuktikan bahawa beliau salah.

RUU semalam diluluskan dengan 111 undi menyokong berbanding 106 membantah secara pengundian blok.

Undian RUU bantuan Covid-19 minggu depan

Rang undang-undang itu berusaha menyusun semula Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada 2019 tanpa perbelanjaan tambahan, untuk memudahkan komposisi kabinet baru PN.

Sementara itu, Rang undang-undang (RUU) untuk membiayai suntikan fiskal kerajaan sebanyak RM45 bilion bagi bantuan Covid-19 baru mula dibahaskan hari ini. RUU ini akan diundi pada minggu depan.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) sebelum ini berkata pembangkang akan mengundi menyokong RUU pembiayaan bantuan Covid-19, jika jumlahnya digandakan menjadi RM90 bilion.

Najib, yang tetap mengatakan pembangkang telah menolak rang undang-undang bantuan Covid-19 semalam, berkata di Facebook pada hari ini bahawa gesaan yang dibuat Lim itu satu "pusingan-u."

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS