Pembangkang bersedia menyokong rang undang-undang (RUU) dicadangkan kerajaan bagi memudahkan suntikan fiskal untuk pembiayaan Covid-19, jika jumlahnya digandakan menjadi RM90 bilion.
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata ini kerana RM45 bilion yang diperuntukkan sekarang tidak mencukupi untuk membantu orang ramai dan perniagaan yang sedang berdepan kesukaran akibat pandemik itu.
"Sekiranya boleh naikkan RM45 bilion lagi, kita boleh ketepikan kepentingan politik. Pembangkang sedia menyokong RUU itu 100 peratus dengan syarat naik RM45 bilion lagi.
"Marilah kita cipta sejarah kalau kita nak selamatkan ekonomi negara. Tanpa tambahan RM45 bilion, ia tak mencukupi. Macam mencurah air di daun keladi," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Lim berkata demikian semasa membahaskan rang undang-undang peruntukan Covid-19.
Kementerian Kewangan dijangka memberi respons di parlimen pada hari Isnin depan kerana terdapat banyak ahli parlimen lain yang ingin membahaskan rang undang-undang tersebut.
Mengulas lanjut, Lim berkata dengan menggandakan jumlahnya menjadi RM90 bilion tidak akan menyebabkan beban fiskal yang tidak dapat ditanggung oleh kerajaan.
Jelasnya, jumlah itu akan membantu merangsang ekonomi, dan dengan itu nisbah hutang KDNK tidak akan melebihi 60 peratus.
Dia juga mengatakan bahawa meskipun defisit terhadap KDNK akan naik hingga 9 peratus, ia masih dapat ditanggung dibandingkan dengan defisit 16.7 peratus yang dialami negara pada 1982.
"Mengapa perlu menunggu hingga tahun depan? Orang mati tidak akan hidup kembali. Syarikat yang ditutup tidak akan dibuka semula. Mereka yang kehilangan pekerjaan, bagaimana mereka akan bertahan hingga tahun depan?" katanya.
Dia juga mengulangi gesaannya agar kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman - yang akan berakhir pada bulan September - kepada enam bulan lagi dengan memasukkan RM5.6 bilion.
Ini katanya, akan memberi manfaat kepada 8 juta rakyat Malaysia.
RUU Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 [Covid-19]) 2020 bertujuan untuk mewujudkan dana Covid-19 yang akan merangkumi pelbagai pakej rangsangan yang telah diumumkan seperti pakej Prihatin dan Penjana.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikritik pembangkang kerana tidak membenarkan perbahasan mengenai pakej rangsangan ekonomi, yang diumumkan secara berperingkat selama beberapa bulan terakhir dan berjumlah RM295 bilion.
Sebaliknya, pembiayaan itu dilakukan tanpa pengawasan dan persetujuan parlimen.
RUU ini juga bertujuan untuk mengesahkan semua jumlah berkaitan yang dibayar oleh kerajaan mulai 27 Februari sejajar dengan pengumuman pakej rangsangan RM20 bilion pertama yang diumumkan oleh perdana menteri sementara ketika itu Dr Mahatahir Mohamad sebelum kejatuhan Pakatan Harapan.
Sebarang jumlah yang perlu dibayar dari dana tersebut akan dibayar dalam masa enam bulan setelah tamatnya akta tersebut, dengan wang baki kemudian disalurkan ke dana pembangunan di bawah Akta Prosedur Kewangan 1957.