Kira-kira seminggu lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan ,Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerima kritikan setelah satu rakaman video menunjukkan dia berjanji menggunakan jawatannya bagi mengeluarkan surat sokongan sebagai pertukaran mendapatkan undi dalam pemilihan Bersatu.
Ketika ditanya hari ini, Ketua Pemuda Bersatu (Armada) yang baru dipilih itu berkata dia percaya tidak melakukan sebarang kesalahan.
Fayhsal mendakwa janji itu dibuat dalam konteks bahawa dia ingin menolong para belia, terutama di luar bandar untuk mendapatkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan bagi golongan terbabit.
"Konteks yang berlaku adalah ketika mana saya bertemu dengan akar umbi. Saya turun bukan sekadar sebagai calon ketua Armada nasional untuk berkempen, tapi sebagai timbalan menteri ketika turun bersama dengan anak muda di akar umbi.
"Saya lihat sendiri bagaimana pemuda-pemudi di kampung, di luar bandar, terputus maklumat-maklumat dan pengumuman yang kerajaan buat dalam (program) Prihatin dan Penjana.
"Mereka tak tahu bagaimana mereka ingin dapatkan bantuan yang begitu banyak sekali, kerana mereka mungkin kurang celik IT, terputus dengan bekalan maklumat yang penting.
"Jadi konteks saya bercakap sebegitu adalah untuk memastikan jentera-jentera kami di bawah Armada ini ada di akar umbi, di setiap parlimen, di setiap Dun dan mereka menyantuni anak muda di bawah," katanya dalam sidang awal hari ini.
Difahamkan, video itu dirakam ketika Senator berkenaan mengadakan pertemuan dengan anggota Armada di Pahang, menjelang pemilihan sayap tersebut yang berakhir Sabtu lalu (15 Ogos).
Fayhsal memenangi jawatan ketua Armada dengan menewaskan pesaingnya, Mohd Muzzammil Ismail.
Video tersebut menunjukkan Fayhsal mengatakan dia boleh mengeluarkan surat sokongan atas kapasitinya sebagai timbalan menteri, dan bahkan membuat salinan kepada perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk membantu memperkuatkan dokumen tersebut.
"Jadi insya-Allah, saya rasa perkara itu tak menjadi masalah, kerana saya tidak melakukan apa-apa yang bersalahan dengan undang-undang," tambahnya.
Fayhsal juga menafikan kemenangannya dalam pemilihan sayap parti itu ada kaitan dengan janji yang dibuatnya.
Sebaliknya, katanya, ia disebabkan kerana kempennya yang turun ke setiap bahagian Armada.
Ditanya mengenai laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fayhsal berkata dia masih menunggu siasatan dijalankan.
"Saya tunggu siasatan tersebut berjalan dan saya yakin saya tidak bersalah," katanya.
Sementara itu, bagi barisan exco Armada yang baru dipilih untuk penggal 2020-2022, Fayhsal berkata mereka akan memberi tumpuan memperkuat parti dan membantu Bersatu dalam pilihan raya kecil Slim di Perak dan pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.
Fayshal juga berkata mereka mensasarkan pertambahan jumlah penyertaan belia dalam parti itu terutama dari kalangan pelajar universiti.