Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri Sabah.
Hal itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, di Kota Kinabalu sebentar tadi.
Untuk tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Sept.
Terdahulu Azmi mengadakan pertemuan dengan pegawai pengurus pilihan raya di sebuah hotel di bandar raya berkenaan.
Tarikh pengundian awal pula diadakan pada 22 Sept.
Berdasarkan tarikh yang diumumkan Azmi itu, tempoh untuk berkempan bagi semua calon yang bertanding ialah selama 14 hari.
Untuk PRN kali ini SPR akan menggunakan daftar pemilih yang dikemas kini setakat 29 Julai lalu.
Dalam sidang media sebentar tadi Azmi juga menyatakan SPR akan menyiarkan prose pengiraan undi secara langsung, sama seperti yang diadakan agensi itu sebelum ini.
Kos lebih RM180 juta
Pada masa sama pemerhati yang ingin memantau perjalanan PRN Sabah kali ini dimita mendaftar dengan SPR untuk mendapatkan pengesahan.
Sementara itu ditanya mengenai proses perundangan yang sedang berlangsung Azmi berkata, SPR perlu mengadakan PNS walau apa pun keputusan yang ditetapkan nanti.
Ia berikutan langkah sekumpulan Adun diketuai Musa Aman mencabar keabsahan pembubaran DUN oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin, pada 20 Julai lalu.
"SPR tidak menerima sebarang arahan daripada mahkamah.
"Buat masa ini SPM akan meneruskan pilihan raya negeri," katanya.
Dalam sidang media itu Azmi berkata terdapat 1.12 juta pengundi berdaftar dan menjangkakan lebih 70 peratus daripada mereka akan mengundi kali ini.
Mengenai kos yang diperlukan bagi menjayakan PRN kali ini, bekas pensyarah kanan Universiti Malayai itu berkata, SPR menganggarkan ia menelan belanja sebanyak RM186 juta.
Katanya seramai 30,540 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses berkenaan selain 741 pusat mengundi membabitkan 2,540 saluran mengundi dan 56 pusat mengundi awal disediakan.
Pemohonan undi pos luar dan dalam negara pula, katanya, mula dibuka hari ini sehingga 3 Sept (untuk luar negara) dan 11 Sept (dalam negara).
"Sebanyak 64 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan kali ini," katanya.
Menurut Azmi pengundi boleh membuat semakan daftar bagi mengetahui pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan melalui laman portal SPR di www.spr.gov.my atau SMS 15888 atau aplikasi MySPR Semak mulai 7 Sept ini.
"Sebanyak 332 saluran baru ditambah bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhan 2,613 saluran berbanding 2,281 saluran pada PRU ke-14," katanya.
Azmi turut memaklumkan ada 12,297 pengundi orang kurang upaya (OKU) dikenal pasti dan mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.