Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kekang Covid-19: Kedah batal sambutan merdeka, had operasi perniagaan
Diterbitkan:  Aug 17, 2020 12:43 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Kedah mengambil tindakan drastik susulan peningkatan kes Covid-19 di beberapa kawasan di negeri itu, berkuatkuasa serta-merta.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Wisma Darul Aman, malam tadi.

“Arahan ini dikenakan ke atas kawasan berisiko sahaja di mana kes-kes positif direkodkan di kawasan tersebut, khususnya Tawar, Baling, beberapa lokasi di Yan, Kuala Muda dan juga di Sala, kluster Sala ini di Yan tapi lebih tepatnya di Guar Chempedak,” katanya seperti dipetik RTM.

Menurut laporan tersebut, antara langkah yang diputuskan adalah penangguhan program sosial termasuk oleh jabatan dan agensi kerajaan, manakala sebarang penganjuran kenduri temasuk majlis perkahwinan dibatalkan

Selain itu, masjid dan institusi keagamaan yang terlibat dengan kes positif Covid-19 juga ditutup serta-merta bagi membolehkan proses sanitasi dan pemantauan dibuat.

Acara sambutan kemerdekaan juga dibatalkan dan lokasi yang biasa menjadi tempat sambutan seperti Pantai Merdeka dan Pulau Sayak akan ditutup bermula 28 Ogos ini.

Taman awam di kawasan yang memiliki kes positif juga ditutup sepenuhnya.

Bagi kegiatan perniagaan pula, waktu operasi pasar malam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dihadkan pada pukul empat petang hingga lapan malam saja, manakala kedai runcit, kedai 24 jam dan kedai serbaneka di stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

Aktiviti penjualan makanan di kawasan dilanda wabak dibenarkan beroperasi melalui kaedah bawa pulang atau penghantaran dan tidak lagi dibenarkan untuk makan, minum di kedai, kata Sanusi.

Dia berkata, langkah itu terpakai sehinggalah pengumuman lanjut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu apabila kawasan-kawasan yang berkaitan diisytihar menjadi zon hijau.

Setakat semalam terdapat empat kluster masih aktif di Kedah iaitu kluster Sivagangga, kluster Tawar, kluster Muda dan kluster Sala.

Bagaimanapun, katanya, penularan membabitkan kluster Sivagangga semakin terkawal susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan secara pentadbiran (Temco), dengan kes positif terakhir daripada kluster itu direkodkan pada 9 Ogos lalu.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS